Wednesday, November 21, 2007

Kuhan dicalon ke Sukan SEA

Oleh ABDUL HAFIZ AHMAD

KUALA LUMPUR – Bekas ketua pasukan negara, S. Kuhan akan cuba disenaraikan ke skuad hoki lelaki Sukan SEA Korat, bulan depan ekoran pengguguran Zulkifli Rejab akibat kecederaan tulang rawan walaupun tarikh penamaan pemain sudah ditutup oleh Jawatankuasa Penganjur (KOSOC).

Jurulatih negara, Sarjit Singh berkata, mereka akan cuba memohon bantuan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) untuk meminda senarai asal 16 pemain ke Korat yang turut disertai tiga pemain daripada skuad Trofi Juara-juara di sini mulai 29 November hingga 9 Disember ini.

“Kuhan tidak disenaraikan ke Trofi Juara-juara kerana kami sudah memilih 20 pemain (kelmarin) tetapi mungkin boleh ke Sukan SEA kerana Zulkifli tercedera,” katanya di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil mengenai keperluan seorang pakar sungkitan sudut penalti yang berkaliber.

Menurutnya, hanya tiga pemain daripada skuad Trofi Juara-juara akan menyusul ke Sukan SEA yang cuma membabitkan penyertaan empat negara iaitu Malaysia, Thailand, Myanmar dan Singapura tetapi senarai akhirnya hanya akan diumumkan hari ini.

Kata Sarjit, prestasi dan kecergasan Kuhan yang kali terakhir mewakili negara ke Sukan Asia Doha tahun lalu, akan dipantau sepanjang sesi latihan dan mungkin diteruskan bagi menghadapi Kelayakan Olimpik di Kakamigahara, Jepun dari 5 hingga 13 April depan.

“Dia baru balik daripada Liga Jerman yang bercuti musim sejuk sekarang. Mungkin dia masih mencapai tahap kecergasan bagi perlawanan antarabangsa,” katanya yang terdahulu menerima kunjungan Ketua Kontinjen negara, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Mengenai penarikan diri Czech daripada Kelayakan Olimpik, kata Sarjit, sebarang pasukan yang menggantikannya tidak akan membawa banyak perbezaan malah semua lawan lain sekumpulan Malaysia tetap dianggap terkuat pada persaingan setinggi ini.

Tanpa Czech yang penggantinya belum ditentukan oleh Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), skuad negara masih berdepan dengan juara Piala Dunia 2006, Jerman, Jepun, Poland dan Switzerland dengan hanya juara kumpulan ini akan mara ke Sukan Olimpik Beijing, tahun depan.

Sementara itu, Kuhan menjanjikan prestasi yang terbaik untuk merebut semula tempat dalam skuad negara selepas masih mendapat kepercayaan Persekutuan Hoki Malaysia (PHM) walaupun bukan ke Trofi Juara-juara yang melibatkan persaingan bertaraf tinggi dunia.

“Saya mungkin memerlukan sekurang-kurangnya satu bulan untuk mendapat keserasian semula dengan pasukan negara sebelum ke Kelayakan Olimpik,” katanya yang telah menjaringkan enam gol untuk kelab Bahagian Dua Jerman, Mannheim.

Malaysia layak ke Trofi Juara-juara, kejohanan ketiga terpenting FIH selepas Piala Dunia dan Sukan Olimpik sebagai tuan rumah dengan menghadapi Australia, Belanda, Great Britain, Pakistan, Korea Selatan, Jerman dan Sepanyol di Bukit Jalil.

Malaysia memenangi pingat emas hoki lelaki Sukan SEA ketika kali terakhir ia dipertandingkan pada Sukan SEA 2001 Kuala Lumpur dengan pencabar terdekatnya kali ini ialah Singapura yang dilatih bekas pemain negara, Lim Chiow Chuan.

Utusan Malaysia

No comments: