KESATUAN Olahraga Amatur Malaysia (KOAM), tetap dengan sasaran meraih 10 pingat emas pada Sukan Sea di Thailand minggu depan, meskipun mengakui menghadapi sedikit masalah merealisasikan sasaran itu ekoran ketiadaan Noraseela Khalid yang mengalami kecederaan.
Presidennya, Datuk Seri Shahidan Kassim melahirkan rasa kecewa apabila mengetahui ratu pecut 400m berpagar Noraseela Khalid tidak akan ke Korat, namun berharap atlit lain terutama muka baru dapat mencipta kejutan sama seperti di Manila dua tahun lalu.
“Saya amat kecewa dengan keadaan yang mendorong kepada penarikan diri Noraseela daripada Sukan SEA Korat. Dia atau jurulatihnya tidak memaklumkan perkara ini secara bertulis kepada KOAM atau kepada saya sendiri.
“Ada prosedur yang perlu diikut tetapi malangnya saya hanya mengetahuinya daripada laporan akhbar,” kata Shahidan yang hanya dapat bercakap dengan Noraseela menerusi telefon ketika sidang media di ibu negara semalam, sebelum mengesahkan atlit itu tidak ke Korat.
Sambil menyokong kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman yang berang terhadap Noraseela atau lebih mesra dengan panggilan Seela, Shahidan berkata, sebagai atlit senior dia seharusnya menangani perkara itu dengan betul.
Kelmarin, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abd Aziz mengesahkan hasil ujian imbasan pada Seela, atlit itu disahkan tidak dapat bertanding kerana didapati otot kirinya mempunyai kesan koyakan.
Berita Hairan
No comments:
Post a Comment