Perlu menyerlah atau kedudukan dalam kelompok sukan teras dikaji semula
LUAHANNYA dilabel sebagai nasihat, tetapi mesej disampaikan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman jelas berunsur amaran kepada skuad bola sepak bakal memikul cabaran negara pada temasya Sukan Sea di Korat, Disember ini.
Paling penting, prestasi hambar secara keseluruhan di Korat nanti - baik daripada skuad bawah 23 tahun, pasukan wanita mahupun barisan futsal lelaki dan wanita - mampu menjejaskan status bola sepak di kalangan lapan sukan teras negara.
Hakikat itu terjelma ketika Azalina mengakui masih ada pihak mempertikaikan kemasukan bola sepak dalam kelompok sukan utama itu, terutama ketika tiada pencapaian dan kejayaan dihasilkan sejak beberapa tahun terakhir.
"Kita lihat bagaimana keadaannya di Korat nanti. Memang masih ramai mempertikaikannya. Ada yang berpendapat bola sepak tidak berhak," katanya yang tidak menepis kemungkinan kajian semula akan dilakukan selepas temasya itu.
Azalina, dalam pertemuan dengan tiga pasukan itu semalam - tanpa skuad futsal lelaki yang kini berlatih di Australia - turut menegaskan betapa sebarang salah laku disiplin ketika temasya itu akan ditangani dengan sekeras mungkin.
"Anda semua adalah ibarat bintang dan harapan kepada seluruh warga Malaysia. Kerana itu, faktor disiplin perlu sentiasa dijaga.
"Jika di Thailand nanti ada yang ditangkap kerana masalah disiplin, (seperti) keluar ke kelab malam, saya akan pastikan tindakan tegas diambil. Kita tidak mahu pemain yang jadi contoh tidak baik," katanya.
Turut 'dinasihatkan' ialah betapa kelompok pemain bakal ke Korat kali ini punya tanggungjawab untuk menyerlah demi memastikan segala tanggapan negatif terhadap bola sepak negara mampu dihapuskan.
"FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) sendiri ketika ini berdepan kesukaran untuk mendapatkan penajaan. Ianya kerana tiada kejayaan. Jadi, anda semua perlu berjaya supaya bola sepak dapat kembali menarik perhatian umum," katanya.
FAM sudah mensasarkan matlamat untuk skuad bawah 23 tahun negara menamatkan penantian 18 tahun buat menggapai kilauan pingat emas apabila turun bersaing nanti.
Skuad futsal lelaki pula dilihat punya peluang untuk layak ke final. Buat kedua-dua skuad wanita, kemampuan menempatkan diri di kalangan empat pasukan terbaik Asia Tenggara adalah sasaran yang perlu ditunaikan.
Namun di sebalik segala ketegasan itu, Azalina turut gembira dengan inisiatif kepimpinan FAM, diterajui Sultan Ahmad Shah, yang sentiasa memberi kerjasama erat dan terbuka kepada pendekatan baru daripada Majlis Sukan Negara (MSN).
"Kombinasi Tuanku dengan pemimpin baru seperti Khairy Jamaluddin dan barisan naib presiden yang ada saya percaya akan mampu menjelmakan idea dan pendekatan baru untuk menaikkan lagi martabat bola sepak negara," katanya.
NST
No comments:
Post a Comment