INI SAJA: Pasukan Trap negara (dari kiri) Bernard Yeoh, Leong Wei Heng dan Charles Chen memperaga pingat gangsa di Lapang Sasar Sports Authority of Thailand, semalam. |
Charles Chen gagal tepati sasaran dalam empat daripada lima tembakan terakhir
SEGALA-galanya tampak memihak kepada Malaysia untuk mencipta pingat emas kedua di lapangan menembak tetapi hajat besar itu tidak kesampaian apabila penembak acara Trap negara, Charles Chen mensia-siakan peluang untuk hanya meraih gangsa berpasukan di Sport Authority of Thailand, semalam.
Charles meningkatkan semangat kontinjen negara apabila menyertai barisan penembak berada di kelompok depan acara individu lelaki selepas memungut 108 mata seterusnya mencerahkan harapan memenangi emas.
Namun, tembakan tidak mengena empat daripada lima sasaran pada saingan final membuatkan penembak berusia 41 tahun itu terkeluar dari senarai penembak untuk merebut emas.
Tambah memeritkan apabila kedudukan Charles semakin menurun ke tangga keenam pada pertengahan saingan membabitkan 25 sasaran itu dan hanya berupaya menembak 10 sasaran, catatan terburuk dalam saingan kali ini untuk hanya berpuas hati dengan 118 mata.
Catatan mata Charles sebelum itu membantu pasukan negara berada di kedudukan kedua sebelum saingan final tetapi penyudah lemah hanya menyaksikan trio negara meraih gangsa dengan pungutan keseluruhan 309 mata.
Dua penembak lain, Leong Wei Heng mencatat 104 mata manakala Bernard Yeoh, 97 mata.
"Persiapan saya sempurna sehingga ke final dan saya menurut semua arahan yang diberi jurulatih Peter (Terry). Tapi saya sendiri tidak dapat menjelaskan apa yang berlaku.
"Ada yang berkata saya tidak memegang senjata dengan betul tetapi saya tahu saya harus melakukan lebih baik dari itu," katanya.
Charles berkata, dia sudah tampil dalam lapan Sukan Sea namun masih mencari emas pertama dan dia sebenarnya tidak menjangka akan mampu berada sebagai penembak tempat teratas sesi kelayakan.
"Saya langsung tidak mengendahkan papan markah dan saya terkejut apabila Peter berkata saya mendahului dan saya semakin hampir memungut gangsa untuk pasukan.
"Saya ke sini tanpa sebarang harapan tetapi saya amat kecewa kerana begitu hampir meraih emas pertama saya," katanya.
Sementara itu, penembak acara 10 meter Air Rifle, Mohd Hameleay Mutalib hanya berkedudukan ketujuh apabila mengumpul 685 dengan saingan dimenangi wakil Singapura, Jonathan Koh sambil rakan senegaranya Ong Jun Hong dan Emerito Concepcion (Filipina), ketiga.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment