|
|
Katanya, satu lagi mesyuarat KOSOC di Bangkok hari ini bakal membuat keputusan muktamad mengenai pengguguran itu gara-gara kekurangan negara yang menyertainya dan bercanggah dengan peraturan Persekutuan Sukan SEA (SGF) yang mensyaratkan penyertaan minimum empat negara.
‘‘Bagi saya, persediaan apa jenis sukan kita ke Sukan SEA berjalan seperti biasa. Kita tidak akan ubah apa-apa selagi tanpa pengesahan penganjur,’’ katanya mengulas laporan agensi berita, semalam mengenai pengguguran yang turut melibatkan harapan emas Malaysia, skuasy wanita individu.
Laporan itu menyebut Setiausaha KOSOC, Prof. Charoen Wattanasin berkata, sukan lain yang turut cuma disertai Thailand dan Malaysia sekali gus bakal digugurkan ialah luncur angin pelayaran wanita, angkat berat 48 dan 76 kilogram wanita, ekuestrian individu dan berpasukan dan berbasikal bukit downhill wanita.
Namun, selepas mengadakan pertemuan dengan skuad skuasy ke Korat di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, Zainal berkata, beliau akan akur dengan sebarang keputusan KOSOC sekiranya pengguguran perlu dilakukan apatah lagi kerana Sukan SEA kali ini mempertandingkan sehingga 43 jenis sukan dan 485 pingat emas.
‘‘Jika ada sukan harapan emas kita yang digugurkan seperti skuasy, kita berharap ada sukan lain yang terus dipertandingkan, dapat menampung kehilangan itu kerana kita menyertai 41 daripada 43 jenis sukan dalam temasya kali ini,’’ kata Presiden Persatuan Olahraga Negeri Sembilan ini.
Menurut Zainal, ancaman pengguguran itu sebenarnya bukan sesuatu yang asing atau mengejutkan kerana Thailand seperti tuan rumah sebelumnya, akan sentiasa melakukannya bagi mencerahkan peluang mengaut lebih banyak emas walaupun mereka wajar mengehadkan jenis sukan tertentu terlebih dulu.
Sementara itu, pemain lelaki negara, Nafzahizam Adnan berazam untuk mengikut jejak adiknya, Nafiizwan Adnan yang memenangi pingat emas Sukan SEA Filipina 2005 tetapi perlu memastikan dirinya dan Elvinn Keo mara ke perlawanan akhir di Bangkok terlebih dulu.
‘‘Dua tahun lalu, mujur adik saya dapat menewaskan pemain Indonesia untuk muncul juara walaupun bermain dengan menghidap demam tetapi kali ini kami perlu pastikan emas buat negara. Saya juga cuma berharap kami tidak diserang penyakit atau cedera di sana,’’ katanya.
Nafiizwan, 22, pilihan keenam Malaysia kelahiran Kuala Terengganu, meramalkan pencabar terdekat negara, Indonesia bakal menurunkan pemain baru di Bangkok, Johnny Martin yang pernah beraksi pada Terbuka Petaling Jaya, kira-kira dua bulan lalu.
‘‘Khabarnya pemain Indonesia yang merampas perak daripada kita di Filipina lalu, tidak beraksi kali ini namun tidak banyak yang diketahui tentang Johnny kerana saya tidak bermain pada Terbuka Petaling Jaya,’’ kata pemain ranking ke-122 dunia itu.
Malaysia mempertaruhkan dua pemain, Sharon Wee dan Tricia Chuah dalam kategori wanita pada Sukan SEA yang dianggap berada dalam kelas tersendiri untuk memastikan pingat emas dan perak memandangkan ranking mereka dalam kedudukan ke-20 dan 26.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment