Wednesday, November 21, 2007

Futsal lelaki janji kilauan pingat

PETALING JAYA – Skuad futsal lelaki tetap mensasarkan kilauan pingat dengan kemaraan ke perlawanan akhir menjadi sasaran utama pada Sukan Sea Korat, bulan depan.

Tiada kesangsian amanat besar Menteri Belia dan Sukan (KBS), Datuk Seri Azalina Othman Said yang mahukan skuad futsal lelaki membawa pulang pingat akan dapat ditunaikan.

Pengurus Futsal kebangsaan, Hamidin Mohd. Amin berkata, berdasarkan persiapan rapi sasaran tersebut mampu ditunaikan.

Menurut beliau, secara keseluruhan skuad futsal sudah cukup bersedia untuk mengharungi cabaran dalam Kumpulan A pada temasya di Korat bermula 7 Disember ini.

‘‘Saya tidak sangsi dengan keupayaan skuad futsal lelaki paling tidak mara ke separuh akhir dan sasaran utama adalah layak ke akhir.

‘‘Melihat atas kertas saingan utama kita hanyalah daripada pasukan pilihan Thailand yang dijangka akan mengungguli saingan kumpulan A,’’ ujarnya ketika ditemui di Wisma FAM, Kelana Jaya semalam.

Jelas Hamidin, sesi latihan pemanas badan di Australia baru-baru ini menghadirkan khabar gembira walaupun daripada segi keputusan kurang memberangsangkan.

Sewaktu di Australia, skuad futsal kebangsaan mengharungi empat perlawanan persahabatan.

Tewas 0-6 kepada kelab utama New South Wales Thunder dan skuad futsal kebangsaan Australia 1-4.

Skuad futsal sekadar menang ke atas New South Wales Lightning 5-2 dan mencatat keputusan seri 3-3 dengan skuad kebangsaan Australia dalam perlawanan terakhir.

Utusan Malaysia

No comments: