Wednesday, November 21, 2007

MSN sasar lebih 61

Oleh Harris Rajahdin


CERIA: Zolkples dan Ahmad Sarji (dua dari kanan) beramah mesra bersama pasukan lawn bowls yang akan ke Sukan Sea 2007, Korat, Thailand.

Lawn bowl janji sapu bersih 6 pingat emas

SASARAN Majlis Sukan Negara buat Sukan Sea XXIV Korat yang bakal diumumkan nanti akan kekal 'melebihi 61' walaupun penganjur bertindak menggugurkan 12 acara yang empat daripadanya adalah prospek emas buat Malaysia.

"Sasarannya seharus lebih baik daripada 61, sekurang-kurangnya 62. Kita mahu memperbaiki pencapaian lalu. Kita mungkin akan mengumumkan sasaran ketika latihan pusat," katanya pada sidang akhbar sejurus lawatannya ke skuad bowling negara di di Pusat Lawn Bowl Negara di Bukit Kiara semalam.


Persiapan ke Sukan Sea akan memasuki fasa terakhir dengan latihan pusat akan bermula seminggu sebelum temasya pelbagai sukan serantau itu membuka tirai pada 6 Disember ini.

Daripada 12 acara yang digugurkan minggu lalu, Malaysia yang berdepan saingan tunggal Thailand dilihat mempunyai peluang cerah dalam ekuestrian individu dan berpasukan, skuasy perseorangan wanita dan lumba basikal menuruni bukit wanita.

Malaysia juga mempunyai peluang cerah meraih sekurang-kurangnya perak dalam luncur angin wanita dalam acara kapal layar, angkat berat wanita 48 kilogram dan 76kg ke atas dengan tuan rumah menjadi pesaing tunggal.

Begitu pun, Zolkples jelas lega dengan ikrar berani Persekutuan Lawn Bowl Malaysia yang berjanji akan menyapu semua enam emas yang ditawarkan bagi memastikan sasaran itu dapat dipenuhi.

Terdahulu, Presiden Persekutuan Lawn Bowl Malaysia (PLBM) Tan Sri Ahmad Sarji Abdul Hamid bertekad untuk menyapu bersih enam emas yang dipertandingan berdasarkan penilaiannya terhadap kemampuan barisan 14 pemain lelaki dan wanita dalam beberapa kejohanan sebelum ini.

"Lawn bowl ini lain daripada jenis sukan lain. Rekod bagi tempoh 11 bulan ini menyaksikan kami menggondol beberapa kejuaraan termasuk Terbuka New Zealand, Kejohanan Asia serta Kejohanan Juara Antara Juara yang menyaksikan Siti Zalina Ahmad meraih tempat kedua dan Safuan Said di suku akhir.

"Dengan latihan sistematik dan bantuan MSN, kami menaruh keyakinan mereka boleh menang," katanya.

Pertaruhan terbaik negara adalah pada Siti Zalina, 28, yang juga pemenang emas acara beregu Sukan Sea 1999 di Brunei yang mensasarkan emas pertama individu dalam penampilan keempatnya.

Berita Harian

No comments: