Thursday, November 29, 2007

MSN serah kepada PSM

Keputusan untuk menarik diri daripada bertanding di Sukan Sea


MAJLIS Sukan Negara (MSN) menyerahkan segala keputusan sama ada menarik diri daripada bertanding di Sukan Sea atau tidak kepada Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) bagi memastikan mereka tidak terus menjadi mangsa pasukan Thailand atau Singapura.

Ketua Pengarahnya, Datuk Zolkples Embong, berkata isu yang berbangkit perlu segera di selesaikan andai mahu melihat sukan ini dapat berkembang lebih jauh sehingga ke Sukan Olimpik.


“Kami serahkan perkara ini kepada pakar dalam PSM. Kita setuju menyatakan bahawa kita tidak mahu terus menjadi mangsa ketika ada negara berusaha untuk melakukan apa saja bagi memastikan mereka dapat menang.

“Ketika di Doha dulu mereka menimbulkan masalah berkaitan servis dan tekong. Saya harap perkara ini dapat diselesaikan segera,” katanya di kompleks MSN Bukit Jalil semalam.

Sementara itu, isu sepak takraw terus bergelora di Bangkok apabila Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf), Boonchai Lorhpipatn, semalam menggugurkan Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya daripada jawatan juri rasmi.

Tiga lagi pengadil dari Malaysia iaitu Abdul Razak Rahman, Fadzil Hashim dan Ahmad Rashidi diberi tarikh akhir sehingga lewat semalam untuk mengesahkan persetujuan mereka selepas dilantik sebagai pengadil atau menghadapi kemungkinan digantikan.

Tindakan tegas daripada Jawatankuasa Sepak Takraw Sukan Sea Korat itu tampak sebagai langkah awal untuk ‘mengajar’ PSM kerana membantah penggunaan bola getah baru yang mahu digunakan pada Sukan Sea, tanpa mengikut prosedur sepatutnya.

Ahad lalu, PSM memberi tempoh sehingga esok kepada Astaf dan penganjur Sukan Sea untuk mengeluarkan kenyataan bertulis tidak akan menggunakan bola baru yang bersalut getah.

PSM mendakwa pengenalan bola Marathon Gen II itu, tidak mengikut peraturan yang ditetapkan selain bimbang ia boleh mendatangkan kecederaan kepada pemain kerana belum diuji sepenuhnya.

Kongres Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) mengumumkan bola baru ini akan digunakan pada Sukan Sea, langkah yang turut dibantah oleh Myanmar, Vietnam, Indonesia dan Brunei.

Zolkples berkata, memang rugi andai Malaysia tidak bertanding pada Sukan Sea kali ini kerana ketika di Manila, skuad takraw berjaya mencipta kejutan meraih emas dan menumpaskan Thailand.

“Thailand sentiasa takut kepada kita. Di Manila tiada siapa menyangka mereka dapat mengalahkan pasukan Thailand. Bagaimanapun, sayang jika kita tidak mengambil bahagian kerana pertembungan pasukan Malaysia dan Thailand sentiasa ditunggu-tunggu,” katanya.

Berita Harian

No comments: