|
|
BANGKOK – Penembak raifal prone Malaysia, Nur Suryani Mohd. Taibi yang kempunan pingat emas individu pada Sukan SEA ke-24, semalam, menganggap kegagalan meraihnya sebagai adat dalam pertandingan menembak antarabangsa.
Bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi ini juga tetap menerimanya dengan hati terbuka malah tidak sedikit pun berasa kecewa atau terkilan kerana terlepas peluang untuk menyumbangkan emas berganda prone buat negara selain kategori berpasukan.
“Kejadian terikat mata dan terpaksa ditentukan oleh kiraan semula juri pernah berlaku pada Sukan SEA Filipina 2005 tetapi alhamdulillah ketika itu keputusan menyebelahi saya.
Jadi saya anggap kekalahan kali ini adat bertanding. Ada menang ada kalah,” katanya.
Menurut penembak kelahiran Ipoh, Perak berusia 21 tahun ini, dia hanya turun beraksi dengan mengerah persembahan terbaik di Lapang Sasar Hua Mark, Lembaga Sukan Thailand itu tetapi tanpa memberikan begitu banyak tekanan kepada diri.
“Saya turut menjadikannya sebahagian pemanas badan menjelang Kejohanan Menembak Asia di Kuwait, bulan depan,” katanya yang bergandingan dengan Nur Ain Ibrahim dan Haslisa Hamed untuk menyumbangkan emas sulung Malaysia menerusi kategori berpasukan raifal prone 50 meter.
Walau apa pun, Nur Suryani tetap berpuas hati sekalipun cuma sebutir perak kerana baginya, meraih tempat ke Sukan Olimpik Beijing menerusi Kejohanan Asia bakal menjadi misi lebih penting selepas ini.
“Saya bimbang juga jika memuncak terlalu awal dalam Sukan SEA kerana ia boleh membawa tekanan lain sehingga tumpuan menjadi terabai ketika memburu misi lebih penting ke Beijing,” katanya yang tidak mengenali pemenang emas, Than Than Saw kerana belum pernah bersaing dengannya sebelum ini.
“Dia mungkin hanya turun selaku penembak bukan pilihan dan kurang tekanan berbanding saya sebagai juara bertahan,” kata Nur Suryani.
– Utusan
No comments:
Post a Comment