BANGKOK – Sesudah tembakan sulung Sukan SEA Korat menghasilkan sebutir pingat emas dan sebutir perak, skuad negara hanya mengukir pencapaian sederhana apabila meraih sebutir gangsa di Lapang Sasar Lembaga Sukan Thailand, Hua Mak, semalam.
Kali ini trio lelaki - Charles Chen, Leong Wei Heng dan Bernard Yeoh melakukannya menerusi acara trap berpasukan sekali gus membawa sedikit sagu hati daripada tiga acara akhir yang disertai Malaysia termasuk individu trap dan raifal angin 10 meter lelaki pada hari kedua saingan itu.
Mereka menjatuhkan 309 bird untuk menduduki tempat ketiga di belakang trio Singapura (Lee Wung Yew, Mohd. Zain Amat dan Choo Choon Seng) dan Filipina (Carag Carlos, Eric Ang dan Jethro Dionisio).
Wung Yew, Zain dan Choon Seng pula memungut 318 bird untuk menjuarai acara ini sementara trio Filipina beroleh 312 bird bagi meraih perak dalam persaingan lima pasukan itu yang turut melibatkan Thailand (305 bird) dan Vietnam (273 bird).
Namun dalam kategori individu, ketiga-tiga penembak negara cuma mampu menduduki tempat keenam, kesembilan dan ke-11 dengan masing-masing mengumpul 108, 104 dan 97 bird.
Juara kategori ini ialah Zain, perak milik Atig Kitcharoen ( Thailand ) dan Wung Yew meraih gangsa biarpun ketiga-tiganya terikat dengan 125 birds.
“Saya sendiri tidak tahu apa yang berlaku dengan prestasi kali ini. Mungkin tumpuan agak hilang dan tuah yang tidak menyebelahi walaupun sudah mencuba sedaya upaya,” kata Charles yang muncul penembak terbaik negara semalam.
Bagaimanapun sebagai pasukan tegasnya, mereka juga wajar meraih pingat yang lebih baik setelah mampu menyaingi Singapura dalam pusingan pertama kelmarin.
“Namun saya rasa daripada pulang dengan tangan kosong, gangsa pastinya sudah cukup memuaskan hati kami,” katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment