KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menyuarakan rasa tidak puas hati dengan gelagat Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang bersikap kurang agresif dalam menangani isu 12 acara Sukan Sea XXIV yang digugurkan pihak penganjur di Korat, baru-baru ini.
Menterinya, Datuk Seri Azalina Othman turut menyoal komitmen oleh persatuan sukan kebangsaan dalam memperjuangkan isu itu ketika kebanyakan acara membabitkan prospek kutipan pingat emas untuk kontinjen negara.
“Saya minta MOM tampil ketengahkan isu ini. MOM harus lebih agresif, begitu juga persatuan sukan harus bertindak sama dengan pengguguran acara disebabkan kurang penyertaan,” katanya ketika membuat kunjungan ke kem skuad bowling negara ke Sukan Sea bimbingan Holloway Cheah, semalam.
Dia rasa kecewa dengan acara yang digugurkan ketika faktor masa dan wang yang dibazirkan berikutan perbelanjaan mahal bagi sesetengah acara sedangkan ia akhirnya tidak akan dipertandingkan.
“Macam dalam ekuestrian kita sudah beli kuda. Nak buat apa dengan kuda itu. Kalau boleh saya akan meminta penganjur di Thailand membayar balik segala perbelanjaan berkenaan.
“Ada di antara sukan itu sudah bersedia lama. Pengguguran saat terakhir tidak adil pada atlit,” katanya.
Mengenai keputusan penganjur untuk menggugurkan 12 acara terbabit, Sabtu lalu, KBS menyifatkannya sebagai usaha tuan rumah untuk menjejaskan Malaysia yang berpeluang cerah memenangi lima daripada acara berkenaan.
Mengenai sasaran skuad bowling negara, Azalina mencabar barisan enam pemain lelaki dan enam wanita untuk membolot habis semua 11 pingat di Bangkok.
Begitu pun hanya empat emas disasarkan Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC) berikutan ketiadaan maklumat mengenai keadaan lorong di sana, tidak seperti temasya di Brunei 1999 yang menyaksikan pengetahuan dalaman membolehkan mereka membolot tujuh emas.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment