KUALA LUMPUR – Persekutuan Angkat Berat Malaysia (MWF) kebingungan bagaimana Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Korat, Thailand (KOSOC) boleh menyenaraikan Malaysia dan tuan rumah sebagai cuma dua negara peserta angkat berat wanita kategori 48 dan 76 kilogram yang digugurkan, Sabtu lalu.
Setiausaha MWF, Lt. Komander Suhaimi Khamis berkata, Malaysia yang mempertaruhkan tiga cuma atlet angkat berat wanita iaitu Raihan Yusoff, Yuslinda Mat Isa dan Siti Amidah Arif sebenarnya tidak menyertai kedua-dua acara yang merupakan di antara 12 digugurkan itu.
“Raihan beraksi dalam kategori 53kg, Yuslinda cuma 69kg dan Siti Amidah (75kg) jadi saya fikir itu mungkin akibat kesilapan penganjur meletakkan Malaysia dalam acara yang digugurkan itu. Kita juga tidak menyertai 58 dan 63kg,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Suhaimi mengulas mengenai keputusan KOSOC yang menggugurkannya bersama-sama beberapa acara melibatkan Malaysia seperti skuasy individu wanita, luncur angin pelayaran wanita, ekuestrian eventing berpasukan dan individu serta berbasikal menuruni bukit wanita Sukan SEA Korat.
Menurutnya, kekeliruan penyertaan Malaysia mungkin berlaku apabila KOSOC cuba menggabungkan peserta kedua-dua kelas 75 dengan 76kg kerana memang menjadi hak tuan rumah untuk menggubal atau meminda sesuatu peraturan pertandingan.
Sementara itu, Setiausaha Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA), Lawrence Yeow turut terkejut dengan kenyataan KOSOC bahawa Malaysia dan tuan rumah menyertai luncur angin pelayaran wanita Sukan SEA ke-24 sedangkan mereka cuma menghantar atlet lelaki, Yap Leong Soon.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment