Oleh Ahmad Khawari Isa
“SAYA bukan tidak patriotik. Saya cedera. Saya memang ada harapan tinggi untuk ke Sukan Sea. Mungkin ia terlalu tinggi.” Ungkapan itu jadi kata muktamad ratu lari 400 meter berpagar negara, Noraseela Khalid yang dipaksa menerima hakikat betapa pentas aksi di Korat, bermula minggu depan, tidak akan dapat menyaksikan kelibatnya.
Pengesahan mengenai penyisihan Noraseela, atau Seela, daripada memikul harapan negara pada temasya serantau itu diberikan Ketua Pengarah Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Aziz, pada sidang akhbar, petang semalam.
“Selepas pemeriksaan dan penelitian terhadap situasinya, Seela tidak berada dalam keadaan untuk bertanding ketika ini. Dalam tempoh dua minggu berikutnya, dia hanya dijangka mampu berjogging.
“Dia perlukan antara enam hingga lapan minggu untuk kecederaan otot hamstring kiri yang terkoyak itu sembuh dan kembali menjalani latihan serta mengambil bahagian seperti biasa,” kata Dr Ramlan.
Semestinya, Seela mengakui betapa dia rasa hampa dengan kegagalan untuk memburu pingat emas ketiganya pada temasya berkenaan.
“Sebenarnya, saya tetap cuba juga. Malah saya turun dan cuba untuk berlari, tetapi ianya tambah membebankan. Kecederaan saya tidak akan sembuh, malah saya mungkin perlukan masa yang lebih panjang.
“Saya juga tidak pernah alami kecederaan seperti ini sebelumnya. Ini baru dan saya tidak tahu bagaimana rasanya, sama ada untuk berlari ataupun tidak.
“Saya ada harapan tinggi untuk ke Sukan Sea...mungkin ianya terlalu tinggi. Kini dengan kecederaan yang dialami, saya terpaksa terima,” katanya.
Sebelumnya, isu penyertaan Seela terdedah ekoran kenyataan pengurus skuad olahraga, Lt Komander S Anthonysamy, betapa Seela sudah memaklumkan hasrat menarik diri.
Ia mencetus reaksi berang Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman, terutama kerana tindakan penarikan diri itu dilakukan tanpa memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) ataupun disokong pengesahan ISN.
“Tiada apa akan diperolehi jika kita terus bertegas untuknya bertanding di Korat,” kata Dr Ramlan.
Dr Ramlan berkata langkah seterusnya ialah memaklumkan keputusan perubatan itu kepada chef-de-mission kontinjen negara, Datuk Zainal Abidin Ahmad dan Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM).
Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong, pula memuji kesungguhan ditunjukkan Seela sebelumnya dan percaya dia akan mampu kembali ke tahap terbaik untuk memenuhi sasaran layak ke Sukan Olimpik di Beijing, tahun depan.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment