Friday, November 30, 2007

Satu kerugian PSM tarik diri

KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam berkata, tindakan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menarik diri daripada Sukan SEA di Korat, merugikan negara.

Katanya, dengan penarikan sepak takraw, kontinjen negara akan kehilangan salah satu daripada prospek pingatnya.

Malah, katanya lagi, kerajaan sendiri telah mengeluarkan pelaburan yang besar untuk program pembangunan sepak takraw, program yang turut meliputi persiapan ke temasya, 6-15 Disember itu.

‘‘Perkara seperti ini tidak sepatutnya berlaku dan isu penggunaan bola getah itu seharusnya sudah diselesaikan sejak awal.

“PSM sepatutnya mengemukakan bantahan rasmi kepada Istaf (Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa) dari dulu lagi,’’ kata Azalina pada majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Sukan SEA negara di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, semalam.

Azalina turut menyuarakan kekesalannya terhadap pengguguran Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya daripada jawatan juri rasmi pada Sukan SEA Korat.

‘‘Saya juga dapat tahu juri kita ditolak, saya tidak tahu mengapa, mungkin kerana mereka bimbang kita akan berat sebelah,’’ katanya.

PSM semalam mengesahkan penarikan diri Malaysia pada Sukan SEA buat kali pertama dalam sejarah, rentetan daripada kegagalan penganjur menolak penggunaan bola sintetik.

Utusan

No comments: