Thursday, November 29, 2007

MSN, MOM sepakat 64 emas


ZOLKPLES Embong (kiri) berbincang sesuatu dengan Sieh Kok Chi selepas mengumumkan sasaran 64 pingat di Sukan Sea Korat pada sidang media di MSN semalam. – Gambar AZLAN BAHRUM.

KUALA LUMPUR – Majlis Sukan Negara (MSN) dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) meletakkan sasaran 64 pingat emas boleh dimenangi oleh kontinjen negara di Sukan SEA Korat.

Ia adalah kali pertama MSN dan MOM bergabung dalam membuat ramalan mengenai jumlah pingat emas yang boleh dimenangi oleh atlet-atlet negara.

Jumlah itu adalah tiga lebih banyak daripada 61 pingat emas yang dimenangi oleh kontinjen dalam Sukan SEA Manila dua tahun lalu, yang merupakan pungutan tertinggi Malaysia di luar negara setakat ini.

‘‘Sasaran 64 pingat emas ini dibuat secara bersama oleh MSN dan MOM selepas perbincangan antara kami,’’ kata Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkeples Embong kepada wartawan semalam.

‘‘Jumlah itu diputuskan selepas kami meneliti prestasi semasa atlet-atlet kita dengan para pencabar mereka dari negara lain,’’ katanya lagi.

Malaysia telah pun memenangi satu pingat emas kelmarin dalam acara menembak raifal prone wanita 50 meter berpasukan menerusi Nur Suryani Mohd. Taibi, Nur Ain Ibrahim dan Haslisa Hamed, yang diharapkan oleh MSN dan MOM sebagai permulaan yang akan berakhir dengan kecemerlangan kontinjen negara.

Daripada jumlah itu, kolam renang diharapkan menjadi lubuk emas utama negara iaitu lapan emas (5 renang dan 3 terjun) manakala olahraga tujuh dan gimnastik juga tujuh (artistik 2 dan gimrama 5).

Sebanyak 475 pingat emas ditawarkan pada temasya di Korat menerusi 43 acara.

Malaysia menghantar kontinjen terbesarnya ke luar negara iaitu sebanyak 723 atlet negara untuk bersaing dalam 39 acara sukan daripada 43 yang dipertandingkan. Mereka ditemani oleh 307 pegawai.

Mengenai kejayaan meraih pingat emas pertama kelmarin, Zolkples berkata perkara itu sudah dijangka kerana Nur Suryani adalah atlet yang jauh lebih hebat berbanding pesaingnya.

‘‘Yang paling membuat saya gembira ialah kerana dua atlet lain dalam acara berpasukan itu iaitu Nur Ain dan Haslisa adalah atlet yang kali pertama bersaing dalam Sukan SEA tetapi sudah menunjukkan kecemerlangan,’’ ujarnya.

Zolkples seterusnya memuji prestasi Wong Mew Choo dan pasukan berbasikal trek negara yang menunjukkan prestasi cemerlang minggu lalu.

Utusan

No comments: