Wednesday, November 21, 2007

SSkuad perahu layar berlatih di Pattaya pertahan misi


DARI kiri: Rufina Tan dan Nurul Elia.

SKUAD perahu layar negara membabitkan 25 atlit berlepas ke Pattaya kelmarin untuk memulakan latihan fasa terakhir sebelum menggalas cabaran pada Sukan Sea Korat Thailand, 6-15 Disember ini.

Dengan membariskan pelayar berpengalaman termasuk pemenang pingat Sukan Asia Doha tahun lalu, misi mereka bukan saja mempertahankan kejayaan sebelum ini, malah merealisasikan sasaran lima pingat emas yang diletakkan Persatuan Pelayaran Malaysia (MYA).

Antara pelayar yang dimaksudkan ialah Rufina Tan yang meraih emas di Doha menerusi acara Optimist Wanita tetapi kini beralih ke kategori International 420 dan berpasangan dengan Mable Lim.


Pemenang pingat gangsa di Doha, Nurul Elia Anuar, yang sebelum ini beraksi dalam acara Laser 4.7 pula mampu menyinar dalam acara baru Laser Radial.

Ketua Jurulatih negara, Abdul Rani Idris berkata, skuad negara akan menjalani latihan kira-kira dua minggu di Pattaya sebelum memulakan cabaran.

Turut sama dalam skuad itu ialah jaguh acara Laser, Mohamad Romzi Mohamed dan Optimist Lelaki dan Wanita membabitkan Mohammad Nazrin Muis, Elisa Chew Tung, Khairulnizam Afendy dan Koh Boon Quan yang semuanya menjadi sandaran MYA.

"Latihan dua minggu di Pattaya itu akan dibantu penolong jurulatih dari Belanda, Ronald Van Vianen yang akan memberi tumpuan kepada aspek penyesuaian bot dan kelajuan angin yang dijangka bergerak antara 12 dan 14 knot semasa pertandingan nanti.

"Melalui persiapan ini, saya yakin prestasi dan keyakinan pelayar negara akan terus meningkat serta lebih bersedia," katanya.

Sebahagian pelayar negara menjalani latihan di Kanada dan Port Dickson sejak Ogos lalu selain menyertai kejohanan tempatan.


Berita Harian

No comments: