Astaf terpaksa undi semula acara takraw jika PSM sahkan penarikan diri di Korat
PERSEKUTUAN Sepak Takraw Asia (Astaf) terpaksa mengadakan undian semula kumpulan sedia ada bagi Sukan Sea, jika Malaysia sah menarik diri daripada temasya dwitahunan itu di Korat, Thailand.
Setiausaha Agung Astaf, Boonchai Lorhpipat berkata, perkara itu hanya akan dibuat sebaik menerima pengesahan penarikan Malaysia yang didakwa menarik diri semalam kerana membantah penggunaan bola baru jenis Marathon Gen II 903/904 bagi kejohanan kali ini.
Namun, Boonchai berkata sehingga semalam, pihaknya masih belum menerima surat rasmi berhubung penarikan diri Malaysia tetapi percaya pengesahan sama ada betul atau tidak, akan diperoleh dalam tempoh terdekat.
"Sekiranya ia berlaku (penarikan diri), kami akan putuskan langkah seterusnya termasuk melakukan undian semula.
"Satu lagi pilihan yang ada adalah meneruskan undian dan jadual asal. Mungkin pasukan yang dijadualkan menentang Malaysia sebelum ini, diberikan kemenangan percuma.
"Apa pun setakat ini, kami masih menganggap jadual pertandingan dikekalkan," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Sepak Takraw Sukan Sea Korat.
Tindakan Malaysia yang juga pengasas acara berkenaan apabila ia kali pertama dianjurkan pada Sukan Seap 1965 dianggap satu tamparan hebat buat acara berkenaan, lebih-lebih lagi Malaysia adalah juara antara regu di Manila, dua tahun lalu.
Di Kuala Lumpur, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, yang meskipun akur bahawa PSM lebih arif berkaitan masalah ini berkata, menjadi satu kerugian andai Malaysia menarik diri kerana banyak belanja sudah dikeluarkan selain skuad yang ada sekarang dilihat mampu mengulangi pencapaian emas di Manila.
Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong pula berkata, pihaknya berasa simpati terhadap nasib pelatih yang sudah berhempas pulas sejak sekian lama membuat persiapan ke Sukan Sea.
Sementara itu, Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halem Kader gagal dihubungi dan beliau dikhabarkan akan datang ke Korat pada 1 Disember ini bagi meninjau persiapan terakhir acara yang akan berlangsung pada pada 5 Disember ini.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment