|
|
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said semalam melahirkan rasa kecewa dengan cara jawatankuasa penganjur Sukan SEA Korat (KOSOC) menggugurkan beberapa acara dalam temasya itu dengan sesuka hati.
Lebih membuatkan beliau bengang, kebanyakan acara yang digugurkan di saat-saat akhir itu sebahagian besarnya membabitkan penyertaan Malaysia.
‘‘Ia amat-amat tidak adil. Walaupun saya akui itu hak tuan rumah tetapi gaya penganjuran seperti ini tidak sewajarnya berlaku kerana ia dilakukan begitu mendadak.
‘‘Satu lagi yang mengecewakan saya, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) langsung tidak memainkan peranan berkesan dalam memperjuangkan nasib yang menimpa kontinjen negara.
‘‘Sepatutnya MOM lebih agresif dalam menentang pengguguran acara yang mana kita banyak hilang emas hasil daripada tindakan Thailand itu,’’ katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan skuad boling negara di Sri Petaling, semalam.
Menurutnya, pengguguran acara seperti skuasy wanita dan ekuestrian jelas satu tamparan buat kontinjen negara dalam memburu sasaran 61 pingat emas pada temasya edisi ke-24 itu nanti.
‘‘Kalau macam ini, kenapa Thailand tak gugurkan acara bola sepak saja.
‘‘Tetapi itulah nasib yang terpaksa kita terima. Saya harap kita boleh buat rayuan tentang perkara ini,’’ tegasnya.
Sabtu lalu, Thailand menerusi setiausaha jawatankuasa penganjur, Prof. Charoen Wattanasin menggugurkan 12 acara dengan lima daripadanya membabitkan Malaysia.
Acara itu ialah luncur angin, angkat berat wanita kategori 48kg dan 76kg, ekuestrian individu dan berpasukan, skuasy perseorangan wanita dan basikal menuruni bukit.
Selain itu adalah acara menembak skeet (perangkap dan perangkap ganda) dan muay-thai kategori bantamweight dan lightweight.
Berikutan pengguguran acara itu, kini hanya 473 pingat emas sahaja ditawarkan berbanding 485 pada asalnya.
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment