BANGKOK – Malaysia mencatat sejarah apabila muncul negara pertama bersama Myanmar meraih pingat emas Sukan SEA Korat menerusi acara menembak wanita, semalam walaupun tirai temasya dwitahunan ke-24 itu hanya akan disingkap secara rasmi pada 6 Disember ini.
Trio raifal prone 50 meter yang dibarisi Nur Suryani Mohd. Taibi, Nur Ain Ibrahim dan Haslisa Hamed meraih emas sulung negara itu di Lapang Sasar Hua Mark Lembaga Sukan Thailand di sini dengan mengumpul 1,755 mata pada hari pertama menembak ini.
Malah, Nur Suryani nyaris meraih sebutir lagi emas bagi individu acara ini tetapi cuma dinafikan oleh kiraan semula dengan penembak Myanmar, Than Than Saw setelah masing-masing terikat 587 mata.
Penembak Indonesia, Chalid Erlinawati pula meraih gangsa dengan kutipan 586 mata.
Trio Malaysia menewaskan trio Thailand yang menampilkan Thanyalak Chotphibunsin yang mengutip 1,745 mata dan Chalid Erlinawati, Yosheefin Shill Prasasti dan Inca Ferry Wihartanti dengan 1,743 mata.
Nur Ain dan Haslisa masing-masing memungut 584 mata manakala Nur Suryani yang mengumpul 587 mata hanya terpaksa berpuas hati dengan sebutir perak individu.
Keputusan muktamad juri memihak penembak Myanmar itu berdasarkan tembakan terakhirnya yang mengatasi catatan bekas penuntut sebuah institusi pengajian tinggi di Selangor ini setelah kedudukan mata mereka terikat.
Nur Suryani, 21, mempamerkan prestasi yang konsisten pada awal persaingan dengan mengumpul 99 mata dalam tiga tembakan pertamanya tetapi agak merosot kepada 98 dan 96 mata bagi tiga tembakan terakhir.
Than Saw sebaliknya mengutip 97 hingga 98 mata dalam tiga tembakan terawal namun melonjak kepada 97 dan 99 mata dalam tiga tembakan terakhir yang mengesahkan emas buatnya.
Kem Malaysia cuba mengemukakan bantahan dan memohon penjelasan terhadap keputusan itu yang dianggap mungkin berlaku akibat sedikit kesilapan manusia dengan membayar AS$50 (RM168) tetapi tetap hampa apabila ditolak dengan alasan yang munasabah.
Sementara itu, dua lagi penembak negara, Irina Ishvari Jahvana Devi Das dan Nor Erffani Malick gagal melayakkan diri ke pusingan akhir dalam acara pistol 25 meter setelah sekadar menduduki tempat ke-10 dan 11 daripada 16 penembak yang mengambil bahagian.
– Utusan
No comments:
Post a Comment