|
|
KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara mengambil keputusan menarik diri daripada Sukan SEA Korat - satu tindakan drastik yang memalukan tuan rumah, Thailand.
Langkah berkenaan dibuat Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) berikutan tindakan Thailand yang terus berkeras mahu menggunakan bola sintetik New Generation.
Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail berkata, penarikan ini bertujuan untuk mengajar Thailand yang langsung tidak mahu menerima pandangan negara lain berhubung isu bola takraw tersebut.
“Jika sebelum ini, kita sering tunduk dengan kehendak Thailand yang kini menguasai Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF), kali ini tiba masanya kita menentang habis-habisan tindakan mereka.
“Tiada maknanya mereka (Thailand) menang tanpa Malaysia. Anggap sahaja itu emas percuma sahaja untuk tuan rumah,” katanya, semalam.
Menurut Ahmad lagi, keputusan menarik diri ini telah pun dimaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman Said dan juga Ketua Pengarah, Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Zolkples Embong.
“Kita buat keputusan ini sebaik menerima faksmili daripada Thailand yang tetap mahu mengekalkan penggunaan bola sintetik itu semalam.
“Menteri dan MSN juga telah dimaklumkan mengenainya dan mereka menghormati keputusan PSM untuk menarik diri ini,” tegasnya.
Beliau menambah, Malaysia tidak akan beri muka lagi dan tunduk dengan tekanan Thailand termasukl tindakan mereka melucutkan jawatan juri rasmi pertandingan terhadap Setiausaha Agung PSM, Datuk Arshad Yahya.
Katanya, walaupun berat untuk menarik diri dan sedih dengan nasib pemain negara yang sudah berlatih bersungguh-sungguh tetapi ini adalah keputusan terbaik yang perlu Malaysia ambil.
“Ini demi maruah negara dan PSM tidak rela lagi diperkotak-katikkan Thailand disebabkan bola tersebut tidak memberi jaminan dari aspek keselamatan,” ujarnya.
Sehingga ini kata beliau, Brunei, Myanmar, Indonesia dan Vietnam turut membuat bantahan mengenai penggunaan bola berkenaan.
No comments:
Post a Comment