Friday, November 30, 2007

'Gunakan kepintaran anda'

Kekuatan saja tidak cukup untuk menentukan pemenang di Korat: Azalina

DEMI membela maruah negara bangsa yang sudah 50 tahun merdeka, atlit kebangsaan perlu menghadiahkan kemenangan yang paling hebat pada Sukan Sea XXIV, di Korat, Thailand yang akan bermula secara rasmi 6 Disember ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman, berkata walaupun sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) sebanyak 64 pingat emas, atlit negara perlu membuktikan mereka mampu memungut lebih banyak pingat berbanding apa yang ditetapkan.


"Andai dilihat kepada negara lain, prestasi atlit mereka adalah lebih kurang sama dengan atlit negara dan yang menentukan kemenangan adalah kepintaran dan strategi mereka untuk merebut segala peluang meraih pingat emas dan muncul juara.

"Oleh itu, kita berharap atlit negara dapat menunjukkan tahap kepintaran yang tinggi selain kekuatan mental untuk beroleh kejayaan," katanya selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada Chef-de-Mission Malaysia ke Korat, Datuk Zainal Abidin Ahmad.

Majlis penyerahan bendera itu dilangsungkan di depan lebih 400 atlit negara yang masih berada di tanah air dan turut disaksikan Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaa'far, Ketua Pengarah MSN, Datuk Zolkples Embong.

Turut hadir, Ketua Pengarah Institut Sukan Negara, Datuk Dr Ramlan Abd Aziz, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia, Datuk Azzuddin Ahmad dan peneraju persatuan sukan.

Sejurus menerima Jalur Gemilang itu, Zainal menyerahkan bendera terbabit kepada jaguh lompat bergalah negara, Roslinda Samsu sebelum dia melafazkan bacaan ikrar kontinjen negara.

Malaysia menghantar kontinjen terbesar membabitkan 723 atlit dan 307 pegawai dan mengambil bahagian dalam 39 acara pada Sukan Sea kali ini yang diadakan di Bangkok, Pattaya dan Nakhorn Ratchasima.

Ketika berucap pada majlis itu, Azalina berkata, menjadi atlit kebangsaan dan dihantar bertanding di luar negara adalah satu penghargaan dan bukannya suatu hak.

"Kerajaan memperuntukkan sejumlah besar kewangan untuk kemajuan sukan kerana sukan dianggap sebagai simbol kedaulatan maruah sosial negara.

"Oleh itu, atlit perlu menunaikan tanggungjawab mereka memburu kejayaan tertinggi membuktikan mereka sedia berkorban untuk membela maruah negara," katanya.

Beliau berkata, kementerian berpuas hati terhadap persiapan untuk ke Sukan Sea kali ini yang dianggap lebih agresif selain mengucapkan penghargaan kepada MOM atas segala bantuan yang diberikan.

Berita Harian

No comments: