MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memang sudah menjangka Thailand akan menggugurkan 12 acara sewaktu Sukan Sea di Korat yang bermula hujung bulan ini sambil menegaskan betapa negara masih boleh merealisasikan sasaran meraih lebih 61 pingat emas.
Setiausaha Kehormatnya, Datuk Sieh Kok Chi berkata pengguguran itu menyaksikan negara mungkin kehilangan antara tiga atau empat emas tetapi ia tidak akan menjejaskan sasaran pungutan pingat yang dibuat sebelum ini.
“Mungkin kita agak kecewa apabila acara skuasy wanita individu digugurkan kerana kita memang berkedudukan emas ketika ini tetapi jika dilihat pada acara lain, kita kurang menyerlah dalam acara yang digugurkan itu.
“Kita memang sudah menjangka mereka akan menggugurkan acara ini tetapi apa yang penting kita masih boleh mencapai sasaran emas yang ditetapkan, andai atlit yang bersaing di Korat kelak, benar-benar komited,” katanya ketika dihubungi semalam.
Beliau mengulas laporan kelmarin yang menyatakan penganjur Sukan Sea XX1V mengesahkan 12 acara digugurkan daripada temasya dwi-tahunan itu menyaksikan jumlah pingat emas yang bakal menjadi rebutan kini menjadi 473 berbanding 485 sebelumnya.
Kelmarin, Setiausaha Jawatankuasa Penganjur, Prof Charoen Wattanasin, berkata walau pun terdapat banyak rayuan, Menteri Pelancongan dan Sukan Suwit Yodmanee membuat keputusan muktamad menggugurkan acara itu selaras peraturan Persekutuan Sukan Sea (SGF).
No comments:
Post a Comment