PUSAT Media Utama (MPC) di Universiti Suranaree, Korat dibuka secara rasmi semalam, sekali gus menandakan betapa hampirnya temasya ini akan menyingkap tirainya pada 6 Disember ini dan kesediaan Thailand menganjurkan hampir lengkap.
Dengan kompleks sukan utama di Korat tampak sudah siap sepenuhnya dan hanya sedikit kerja mencantikkan keadaan sekitar giat dilaksanakan, Korat dalam wilayah Nakhon Ratchasima sudah bersedia menyambut kehadiran lebih daripada 6,000 atlit dan pegawai dalam 11 negara Asia Tenggara.
Sememangnya Thailand mahu memastikan semuanya berjalan lancar dan menjadikan temasya itu paling gemilang pernah dianjurkan kerana Sukan Sea XXIV adalah sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-80 hari jadi Raja Bhumibol pada 5 Disember.
"Thailand diberikan amanah untuk menganjurkan Sukan Sea yang menjadi sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-80 hari jadi Raja Bhumibol,"kata naib pengerusi jawatankuasa Pusat Media Utama, Ladavan Bua-aim dalam ucapan pembukaan rasmi.
"Dalam hal ini, kami akan memastikan temasya ini berlangsung dengan penuh gemilang, penuh kelancaran tanpa sebarang masalah dan juga penuh meriah."
Tinjauan Berita Harian di kompleks sukan utama termasuk stadium bagi upacara pembukaan, penutup dan olahraga, menyaksikan pekerja-pekerja sibuk mencantikkan keadaan sekeliling serta memasang peralatan yang akan digunakan bagi upacara pembukaan pada 6 Disember ini.
Selain itu, stadium tertutup bagi penganjuran gimnastik, kolam renang serta veledrom juga hanya menunggu kehadiran atlit untuk bertarung.
Jalan-jalan utama bandar Korat serta menuju ke Perkampungan Sukan di Universiti Suranaree dan kompleks sukan utama mula dipenuh dengan sepanduk serta poster, menandakan kerancakan Thailand terutama penduduk wilayah ini menyambut kehadiran tetamunya.
Sememangnya, Sukan Sea XXIV bakal menjadi temasya terbesar pernah dianjurkan dari segi jumlah sukan, atlit dan gelanggang pertandingan yang disediakan.
Sejumlah 43 sukan akan dipertandingkan dalam temasya 10 hari bermula dari 6 hingga 15 Disember dengan 29 sukan akan dipertandingkan di Nakhon Ratchasima. Pingat emas pula menyaksikan 475 ditawarkan daripada jumlah asal 485 selepas 10 sukan digugurkan kerana kurang penyertaan.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment