Friday, November 30, 2007

Menembak tokok 2 gangsa


Nur Suryani Mohd Taibi (depan kanan sekali) bersama rakan sepasukannya, Hasliza Hamed dan Nur Ain Ibrahim merakamkan kejayaan mereka meraih gangsa acara berpasukan 50m raifal tiga posisi wanita bersama petugas Sukan SEA di Bangkok, Thailand, semalam. – Gambar ASWAD YAHYA.

BANGKOK – Prestasi sederhana terus melanda skuad menembak negara dengan hanya mampu meraih dua pingat gangsa Sukan SEA Korat menerusi raifal tiga posisi 50 meter wanita di Lapang Sasar Lembaga Sukan Thailand, Hua Mark di sini, semalam.

Trio puteri emas Malaysia, Selasa lalu – Nur Suryani Mohd. Taibi, Haslisa Hamed dan Nur Ain Ibrahim kali ini sekadar menjamah gangsa individu dan berpasukan di belakang gandingan tuan rumah yang menyapu bersih dengan 1,708 mata.

Trio negara mencatatkan 1,675 mata manakala Suryani menduduki tempat ketiga individu dengan 665.3 mata, Haslisa – keenam, 651.9 mata manakala Nur Ain, ke-11 untuk mengekori Thailand dan Vietnam (1,708 mata).

Kata Suryani, dia agak gemuruh dalam persaingan walaupun posisi berdiri dan melutut memang menjadi kegemarannya selain meniarap malah terpaksa beralih ke lapang tertutup pada pusingan akhir.

‘‘Tembakan saya tidak menjadi dan berbeza dengan persaingan raifal prone (Selasa lalu) yang menyaksikan kami menang emas kerana tanpa melalui pusingan akhir,’’ kata gadis manis berusia 25 tahun kelahiran Ipoh , Perak ini.

Kata Haslisa, jaket baru yang perlu dipakainya dan lebih nipis bagi mematuhi peraturan Persekutuan Sukan Menembak Antarabangsa (ISSF) agak menjejaskan prestasinya berbanding yang lama, agak keras.

Menurut Nur Ain, Thailand memang gagah sejajar dengan label pasukan pilihan dan kelebihan lapang sasar sendiri apatah lagi mereka dikatakan menggunakan raifal baru yang mampu membantu meningkatkan prestasi.

Namun, gangsa tetap menjadi penawar kehampaan Suryani setelah sekadar pulang tangan kosong daripada Sukan SEA Filipina 2005 dan bergandingan dengan Nurul Huda Baharin yang kini sudah ‘meletakkan raifal’.

Dia bagaimanapun akan menyertai Shaheera Raja Rahim dan Muslifah Zulkifli untuk mengintai sebutir lagi emas menerusi acara raifal angin 10 meter.

Sementara itu, acara 25m pistol standard individu lelaki menyaksikan penembak negara, Hasli Izwan Amir Hassan sekadar menduduki tempat ketujuh dengan memungut 543 mata.

Dalam acara 10m pistol angin individu wanita, Irina Ishvari Jahnava Devi Das turut menghampakan Malaysia dengan menduduki tempat kelima dalam pusingan akhir.

– Utusan

No comments: