KORAT – Perenang sensasi negara, Khoo Cai Lin mempamerkan prestasi yang menakjubkan pada Sukan SEA ke-24 di sini, memenangi dua pingat emas dengan catatan rekod baru kejohanan dan memecahkan rekod kebangsaan yang telah bertahan selama 19 tahun.
Perenang berusia 19 tahun itu mencipta rekod baru dalam acara 400m dan 800m gaya bebas wanita dengan catatan 4:18.20 dan 8:47:80, mengatasi catatan lama 4:19.13 dan 8:58.88.
Catatannya dalam 800m gaya bebas telah memadamkan rekod kebangsaan 8:47.98 yang dilakukan legenda renang wanita negara, Nurul Huda Abdullah dalam pertandingan di China pada 1988.
Sukan SEA Korat adalah yang ketiga buat Cai Lin. Dia membuat penampilan pertama pada Sukan SEA 2003 di Hanoi dengan hanya menang satu pingat emas (800m gaya bebas) tetapi gagal memenangi sebarang pingat pada Sukan SEA Manila dua tahun lepas kerana demam panas dan selesema.
Cai Lin memulakan penglibatan dalam renang menerusi renang berirama tetapi kemudian beralih kepada pertandingan renang jarak jauh. Dia dilatih oleh Gavin Urquhart dari Australia.
Selepas berakhirnya acara renang Sukan SEA Korat, perenang kelahiran Selangor itu berkata dia akan ke Amerika Syarikat untuk melanjutkan pelajarannya dan bertanding dalam pertandingan pra-Olimpik pada Januari depan.
“Saya berharap untuk layak dalam lebih banyak acara dan menang pingat pada Sukan Olimpik tahun depan,” katanya.
Dia sudah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Beijing dalam acara kegemarannya, 400m dan 800m gaya bebas.
Utusan
No comments:
Post a Comment