Dan semalam, hasrat itu tertunai apabila Qabil bergelar penyumbang emas terbanyak buat Malaysia setakat ini apabila mengungguli saingan final showjumping berpasukan di Horseshoe Point, Pattaya City, malam tadi.
Qabil yang sebelum ini sudah mencipta kejayaan dalam acara dressage berpasukan dan individu serta showjumping berpasukan, jelas masih dahagakan kemenangan apabila mengatasi pencabarnya, Diego Lorenzo dari Filipina yang hanya meraih perak.
Peserta Thailand, Pongsiree Bunluewong bersama kudanya, Kara Joy meraih gangsa dengan kedua-dua peserta Filipina dan Thailand itu masing-masing mencatat 17 dan 20 penalti.
Emas yang dimenangi itu juga adalah emas kesembilan milik ekuin berusia 27 tahun itu di Sukan Sea sejak penampilan pertama pada 1995 dan secara keseluruhan dia sudah memungut 12 pingat.
"Sebelum ke sini saya memang sudah sasarkan untuk memungut empat emas seperti saya lakukan di Kuala Lumpur pada 2001, kerana itu saya lebih fokus untuk bersaing pada kali ini dan cuba mendapatkan keputusan terbaik.
"Hari ini saya menunggang dengan bagus. Pada pusingan pertama saya tidak dikenakan penalti dan ia banyak membantu," katanya yang hanya memungut satu mata penalti.
Qabil turut memuji kudanya Parvina yang menampilkan persembahan cemerlang yang disifatkannya terbaik untuk membentuk gandingan mantap bagi menyumbang emas keempat buat negara dalam acara berkenaan.
"Pada pusingan kedua, saya menunggang dengan agak konservatif kerana tidak mahu dikenakan penalti tetapi saya mengambil sedikit masa untuk menghabiskan semua disiplin menyebabkan saya dikenakan satu penalti," katanya.
Ketika ditanya sama ada ini adalah pembabitan terakhirnya di Sukan Sea selepas berjaya merealisasikan impiannya memungut empat emas, Qabil masih berteka-teki mengenainya.
"Jika acara ini diadakan di Laos mungkin saya masih akan menyertainya," kata Qabil.
BH
No comments:
Post a Comment