Friday, December 14, 2007

Karate hebat, rangkul empat lagi pingat emas


(DARI Kiri): S. Mahendran, Lim Yoke Wai, Jamaliah Jamaludin dan G. Yamini gembira menambah empat lagi pingat emas daripada acara karate-do di Korat.
KORAT – Langkah kanan skuad karate negara dalam Sukan SEA Korat di Dewan Kebkanjana, Kolej Teknologi Korat semakin melebar pada hari kedua setelah mereka memungut empat lagi pingat emas sambil Lim Yoke Wei menambah koleksi dua emas peribadi.

Selepas menjuarai kumite 65kg lelaki kelmarin, Yoke Wei menguasai kategori lelaki terbuka dengan menewaskan Yulisar Motuty dari Indonesia 6-3, manakala tiga lagi emas diraih oleh Jamaliah Jamaludin (kumite atas 60kg), G. Yamini (kumite terbuka wanita) dan S. Mahendran (kumite bawah 75kg lelaki).

Kata Mahendran, 26,: “Menang tipis 1-0 ke atas juara bertahan, Christo Mondolu dari Indonesia membuktikan kehebatan pertarungan kami. Kali ini saya memang puas dan gembira meraih mata kemenangan hanya dengan tumbukan tepat.”

Pendekar karate kelahiran Segamat, Johor ini menambah: “Ini emas untuk tunang saya, S. Saritha dan keluarga saya.”

Jamaliah, 21, pula membawa kejutan buat kem negara apatah lagi Korat hanya penampilan sulungnya dalam Sukan SEA selepas menumpaskan Nguyen Thi Nga dari Vietnam 3-0.

Gadis ibu kota ini hanya menerapkan taktik mengawal setiap inci gelanggang sekali gus mengekang sebarang serangan lawan sebelum mencuri pukulan balas yang menghasilkan mata.

Yamini mempamerkan kebangkitan dengan menundukkan Cherli Tugdy dari Filipina 5-3 untuk menjuarai terbuka wanita sekali gus menebus kekalahan mengejutnya kepada Vu Thi Nguyen Anh dari Vietnam dalam kumite bawah 60kg.

“Sasaran awal ialah bawah 60kg tetapi bila dapat yang terbuka, saya tetap gembira,” katanya.

Malaysia turut menambah sebutir perak melalui Yamini dan sebutir gangsa menerusi Shahrudin Jamaludin dalam bawah 70kg lelaki.

Utusan

No comments: