Tuesday, December 11, 2007

Azalina tidak puas hati

AGENDA peribadi dan bukannya membela maruah negara dengan meraih seberapa banyak pingat di Sukan Sea, yang diamalkan sesetengah persatuan sukan jelas membuatkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Azalina Othman, meluat.

"Memang banyak perkara kita tidak puas hati tetapi kita tidak mahu menjejaskan semangat dan persiapan atlit dalam memburu sasaran yang ditetapkan.

"Kita tidak perlu dan tidak boleh panik kerana andai kita panik, atlit akan lebih panik," katanya selepas melawat atlit negara di Perkampungan Sukan di Universiti Teknologi Sarawanee semalam.


Sehingga kini, Malaysia hanya meraih enam emas yang dilihat agak tersasar daripada jumlah yang ditetapkan selepas beberapa acara yang dilihat mampu membawa pulangan emas, gagal diperolehi.

Namun, Azalina tegas memberi amaran betapa kementerian akan mengkaji dan menilai status persatuan sukan terutama apabila sistem rating dilaksanakan Januari depan.

"Buat masa ini, kita tidak mahu mengeruhkan keadaan kerana tidak mahu menjejaskan atlit. Mereka sudah melakukan yang terbaik," katanya.

Masalah demi masalah dicetuskan persatuan sukan termasuk isu penarikan diri pasukan sepak takraw dan terbaru tindakan Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) dikatakan membantah pertambahan bilangan pengadil daripada tiga kepada empat, yang didakwa berpunca daripada masalah peribadi.

"Dalam sukan subjektif, memang kita menganggap lebih ramai pengadil adalah lebih baik terutama membabitkan sukan subjektif yang sering menghasilkan tindakan berat sebelah.

"Namun saya agak pelik mengapa mereka membantah dan saya akan memanggil Presiden MGF untuk segera menyiasat," katanya ketika skuad gimnastik memulakan acara mereka sejak kelmarin dengan sekadar meraih satu gangsa.

Malah, Azalina juga mahu Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) terlebih dulu tampil memberi penjelasan mengapa atlit pecut 100 meter negara, Mohd Latif Nyat, tidak dibenar beraksi kelmarin.

“Saya tidak boleh kata apa-apa, tunggu sehingga Sukan Sea ini selesai. Selepas ini, kita benar-benar perlu berbincang.

"Keutamaan ketika ini adalah meraih pingat dan saya lihat atlit begitu bersemangat dan mempunyai keyakinan tinggi," katanya.

Berita Harian

No comments: