Wednesday, December 12, 2007

Rizal ceriakan kem basikal

KORAT – Skuad berbasikal trek negara memulakan pemburuan untuk membawa pulang enam pingat emas daripada Sukan SEA kali ini dengan Mohd. Rizal Tisin meraih emas pertama menerusi acara 1km ujian masa lelaki di Velodrom Keputeraan Raja Thai Ke-80 di sini, semalam.

Kejayaan, Rizal, 23, itu jelas menceriakan skuad berbasikal negara yang sebelum ini suram selepas kegagalan pelumba dalam acara basikal bukti dan lebuh raya yang gagal meraih sebarang pingat.

Pada saingan akhir yang disertai tujuh pelumba itu, Rizal mencatat masa terpantas 1min:05.980s untuk meninggalkan rakan sepasukan, Azizul Hasni Awang di tempat kedua dan pelumba Filipina, Jan Paul Morales ketiga.

“Saya harap kejayaan ini akan menyuntik semangat pelumba lain untuk meraih lebih banyak emas selepas ini,” katanya yang mempunyai catatan peribadi terbaik 1:03s sebelum ini.

Pada Sukan SEA dua tahun lalu di Filipina, Rizal turut menyumbang satu daripada empat emas yang dibawa pulang menerusi acara pecut berpasukan bergandingan dengan Junaidi Nasir dan Mohd. Faizal Mohamad Noh.

Dengan persembahan awal yang meyakinkan daripada Rizal di sini, peluangnya untuk mempertahankan emas dalam acara pecut berpasukan amat cerah sekali.

Namun semalam, Malaysia sepatutnya meraih satu lagi emas tetapi kegagalan pelumba prospek, Fatehah Mustapha dalam acara 500m ujian masa wanita mengecewakan sedikit skuad negara.

Fatehah, 18, sekadar berupaya meraih gangsa apabila tewas kepada pelumba Indonesia, Muzizah Uyun yang menang emas dan pelumba Thailand, Jutatip Maneephan yang menang perak.

Begitu pun catatan masa Fatehah semalam iaitu 37.185s adalah merupakan catatan peribadi terbaiknya di velodrom terbuka

Utusan

No comments: