Wednesday, December 12, 2007

Sukan Sea: Wushu akhiri cabaran penuh ceria

WUSHU melakarkan nota gembira, semalam apabila melabuhkan tirai acara berkenaan di Institut Teknologi Chanapolkhan, Korat semalam, dengan membawa pulang dua pingat emas, dua perak dan satu gangsa.

Kejayaan itu dianggap detik bersejarah skuad itu berbanding catatan pada Sukan Sea Manila yang menyaksikan pasukan negara gagal meraih pingat.

Pengurus pasukan, Lum Kok Wai berkata atlit negara menyajikan persembahan terbaik mereka dan berjaya mencapai sasaran seperti yang ditetapkan Majlis Sukan Negara (MSN).


“Hari ini saya boleh melaporkan berita gembira dalam mesyuarat harian bersama Chef-de-Mission. Ia adalah kejayaan atlit hasil daripada kerjasama dan usaha keras semua pihak,” katanya.

Acara wushu memulakan catatan memberangsangkan, Jumaat lalu dengan pingat perak sumbangan Lim Yew Fai, Ng Say Yoke dan Wee Jung Jieh dalam acara duilian.

Ia diikuti juara kejohanan dunia, Chai Fong Yin, yang membutirkan emas pertama acara Taijiquan-Taijijian selain Ng Shin Yii membawa pulang perak.

Semalam, Diana Bong meraih emas dan Tai Cheau Xuen membawa pulang gangsa bagi acara Nanquan.

Mengulas mengenai mutu pengadilan sukan subjektif ini yang sering dikatakan memihak kepada pasukan tuan rumah, Kok Wai, berkata ia adalah perkara lumrah tetapi kelihatan kali ini, ia tidak begitu dirasai.

Berita Harian

No comments: