Friday, December 14, 2007

Gimrama tampil aksi emas

KORAT – Pasukan gimrama Malaysia mengekalkan pingat emas acara berpasukan apabila persembahan mereka lebih berjaya memikat para juri berbanding tuan rumah, Thailand pada saingan akhir di Stadium Tertutup 1, Stadium Ulang Tahun Keputeraan semalam.

Gandingan Chyrstal Lim, Foong Seow Ting, Jamie Lee Yoke Jeng dan Wan Siti Haniza Wan Izahar berjaya mengetepikan rasa gentar dengan sorakan penyokong tuan rumah untuk tenang dalam aksi mereka ketika mereka perlu melakukan yang terbaik untuk mengekalkan emas yang dimenangi di Manila dua tahun lepas.

Mata keseluruhan gimnas-gimnas negara dalam pilihan tiga daripada empat disiplin – gelung, tali, kelab dan reben – dalam masa dua hari pertandingan adalah 149.961 berbanding Thailand 147.787 yang menang perak dan pemenang gangsa Vietnam dengan 114.950 mata.

Hanya satu pingat emas ditawarkan dalam acara gimrama semalam.

Dalam saingan dua hari itu, Wen Chean merupakan gimnas terbaik negara dengan mengumpulkan 46.212 mata manakala Seow Ting 44.712 mata.

Tiga mata terbaik setiap gimnas akan menentukan mata keseluruhan pasukan.

Walaupun Malaysia menang emas, catatan individu terbaik dilakukan gimnas Thailand, Sridee Tharathip dengan 46.412 mata dan beliau dijangka menjadi pilihan untuk menafikan peluang juara bertahan, Seow Ting untuk mengekalkan emas individu keseluruhan hari ini.

Pengurus pasukan gimnastik Tan Gin Soon berkata gimrama telah menyumbangkan lima emas di Manila dan kemenangan semalam pasti memberi semangat untuk mereka mengulanginya.

“Gimnas Thailand, Sridee cemerlang hari ini (semalam), terutama di depan penyokong sendiri dan dia perlu diberi perhatian dalam acara individu,” katanya.

Utusan

No comments: