Thursday, December 13, 2007

Trek sapu dua emas terakhir

KORAT – Skuad basikal trek negara menutup tirai saingan Sukan SEA dengan menyapu dua pingat emas terakhir yang ditawarkan sambil kuartet 4km kejar mengejar lelaki memecahkan dua rekod sekali gus iaitu rekod kebangsaan dan Sukan SEA di Velodrom Keputeraan Raja Thai Ke-80, semalam.

Kejayaan Josiah Ng dan kuartet 4km kejar mengejar berpasukan itu meredakan sedikit kekecewaan kem negara yang sudah pun tersasar emas kerana sepatutnya membawa pulang enam emas daripada temasya kali ini.

Dua emas terakhir semalam hanya cukup untuk skuad basikal trek negara meraih empat emas kesemuanya daripada tiga hari pertandingan.

Sebelum ini, dua pingat emas negara disumbang pasukan pecut lelaki dan Mohd. Rizal Tisin dalam acara 1km ujian.

Semalam pada perlumbaan akhir, Josiah menewaskan rakan sepasukan, Azizul Hasni Awang dalam acara kegemarannya 200 meter pecut lelaki.

Di separuh akhir, Josiah menewaskan pelumba Thailand, Charaspong Niwanit manakala Azizul menewaskan pelumba Indonesia, Asep Suryaman.

Sementara itu, gandingan Amir Mustapha Rusli, Jasmin Ruslan, Akmal Amrun dan Mohd. Harif Salleh mengatasi tekanan dan sorakan penonton tuan rumah sebelum memenangi emas acara 4km kejar mengejar berpasukan lelaki dengan catatan rekod baru kebangsaan dan Sukan SEA.

Kuartet muda negara itu mencatat masa 4min: 29.910s untuk meninggalkan pasukan Thailand jauh di belakang yang terpaksa berpuas hati dengan perak. Gangsa menjadi milik pasukan Filipina.

Rekod lama kebangsaan acara ini ialah 4min:34s manakala rekod lama Sukan SEA ialah 4min:31s

"Saya puas hati kerana mereka masih muda tetapi sudah berjaya memecahkan dua rekod sekaligus. Saya sendiri terkejut mereka mampu mencatat masa sebaik ini," kata jurulatih, Ng Joo Ngan selepas perlumbaan.

Selain dua emas, Malaysia turut meraih satu gangsa semalam menerusi Fatehah Mustapha dalam acara 200 meter pecut wanita. Fatehah menewaskan pelumba Filipina, Apryl Eppinger dalam perlumbaan penentuan tempat ke-3/4.

Utusan

No comments: