Wednesday, December 12, 2007

Hoki hampiri dua emas

BANGKOK – Malaysia berada pada kedudukan selesa untuk memenangi dua pingat emas hoki Sukan SEA ke-24 apabila pasukan wanita dan lelaki layak ke akhir seperti yang dijangka.

Pasukan lelaki Malaysia akan bertemu Singapura pada perlawanan akhir esok manakala pasukan wanita bertemu Thailand.

Pasukan lelaki melengkapkan aksi pusingan awal dengan membelasah Thailand 8-1 manakala Singapura, yang seri 1-1 dengan Thailand, menewaskan Myanmar 6-0.

Sebelum itu, Malaysia yang menurunkan pasukan kedua menundukkan Myanmar 8-0 dan Singapura 7-1.

Gol Malaysia dijaringkan G. Sasitheran (minit pertama dan 10), Muhammad Abdul Aziz (28, 54), Muhammad Razie Rahim (34, 49), S. Kuhan (57) dan K. Keevan Raj (65) manakala gol tuan rumah dijaringkan Thammuangkun Surasak pada minit ke-64.

Malaysia hanya gagal memenangi pingat emas pada 1973 di Singapura.

Pengurus pasukan Shurizan Mansor berkata, Malaysia sepatutnya tiada masalah untuk menang emas dan pasukan kini mendapatkan khidmat Baljit Singh Sarjab, Nabil Fiqri Mohd. Noor dan Khairul Nizam Ibrahim yang menyertai pasukan selepas beraksi pada Trofi Juara-juara di Kuala Lumpur.

Pasukan wanita pula yang menumpaskan Singapura 5-0 pada perlawanan pembukaan, menamatkan pusingan awal melibatkan tiga pasukan dengan kemenangan 1-0 ke atas Thailand.

Thailand layak ke perlawanan akhir dengan kelebihan perbezaan gol. Kedua-dua pasukan sebelum ini seri 1-1.

– Bernama

No comments: