Wednesday, December 12, 2007

Hup Wei, Roslinda sumbang emas

KORAT – Sukan olahraga menutup tirai saingannya semalam dengan Malaysia menambah dua lagi pingat emas menerusi atlet lompat tinggi tinggi, Lee Hup Wei dan atlet lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu.

Namun kejayaan itu tidak cukup untuk menepati sasaran Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) iaitu 10 emas.

Selepas berakhir cabaran di Sukan SEA kali ini, skuad olahraga negara hanya berjaya mengumpul tujuh emas keseluruhan daripada lima hari pertandingan.

Namun jika diambil kira sasaran Majlis Sukan Negara (MSN), jumlah itu memenuhi ramalan yang dibuat sebelum ini.

Apa pun kejayaan Hup Wei dan Roslinda semalam sedikit sebanyak menyelamatkan maruah skuad olahraga yang terus menjadi penyumbang utama pingat emas pada setiap temasya Sukan SEA.

Hup Wei melakukan lompatan 2.19 meter walau pun diberi tentangan sengit atlet Vietnam, Nguyen Dung Bang sehingga lompatan terakhirnya untuk terpaksa berpuas hati dengan pingat perak. Gangsa menjadi milik atlet negara, Ahmad Najwan Aqra Hassaim.

“Saya boleh lompat lebih tinggi sebenarnya tetapi matlamat saya adalah emas bukan ketinggian. Saya benar-benar puas hati kerana membalas dendam ke atas Dung Bang, juara bertahan acara ini,” katanya.

Bagi Roslinda pula, dia jelas bukan tandingan di Asia Tenggara kerana mudah memenangi emas dengan sekali lompatan pada ketinggian empat meter.

Walaupun mengalami kekejangan otot, Roslinda masih mampu melakukan lompatan yang bertenaga untuk menghadiahkan pingat emas yang disasarkan ke atasnya.

“Cabaran memang tidak begitu sengit tetapi saya tetap bimbang kerana kejang otot sebelum lompatan pertama. Mujur saya mampu melepasi ketinggian empat meter,” katanya yang merupakan juara bertahan dan pemegang rekod Sukan SEA iaitu 4.10 meter.

Skuad olahraga turut meraih dua perak semalam menerusi M. Vadivellan dalam acara 1,500 meter lelaki dan Ngew Sin Mei bagi acara lompat kijang wanita.

Kekalahan mengejut Sin Mei yang merupakan prospek emas dan juara bertahan acara itu meranapkan lagi usaha skuad olahraga mencapai sasaran yang ditetapkan KOAM.

Sementara itu, dua gangsa turut diraih menerusi Ahmad Najwan (lompat tinggi) dan Mohd. Zaiful Zainal Abidin acara 400m lelaki.

– Utusan

No comments: