Wednesday, December 12, 2007

Bolot emas dan perak ujian masa 1km individu


SKUAD berbasikal negara menawan Velodrom Stadium Ulang Tahun, Korat semalam menerusi acara ujian masa 1 kilometer individu apabila Mohd Rizal Tisin dan Mohd Azizulhasni Awang masing-masing meraih pingat emas dan perak.

Rizal mencatat masa 1:05.98s manakala Azizul tercicir dengan 1:06.64s. Tempat ketiga diraih pelumba Filipina, Paul Morales dengan catatan masa 1:07.30s.


Pelumba kelahiran Klang itu menegaskan catatan masanya itu kurang baik berbanding catatan rekod baru kebangsaan yang dicipta ketika Pusingan Pertama Trek Piala Dunia di Sydney yang disertainya iaitu 1:03.20s, tiga minggu lalu.

"Saya hanya dapat tidur selama empat jam sebelum turun menguji trek dan masih terasa letih selepas penerbangan yang agak lama selepas menyertai Pusingan 1 dan 2 di Sydney dan Beijing.

"Namun saya bersyukur mampu meraih emas dalam acara ini, satu permulaan yang baik untuk saya di sini," katanya yang memenangi emas dalam acara pecut berpasukan di Manila 2005.


Mengulas mengenai trek di velodrom itu, Rizal berkata, permukaan trek agak perlahan selain tiupan angin yang agak kuat, menyukarkannya untuk melakukan catatan lebih baik.

Sementara itu, Azizulhasni berkata, dia baru sembuh daripada demam panas dan masih terbatuk-batuk menjelang perlumbaan semalam.

"Sejak awal saya memang sudah menjangkakan tidak mampu menewaskan Rizal dan dengan keadaan masih batuk, kedudukan perak boleh dianggap memuaskan," katanya.

Berita Harian

No comments: