Monday, December 17, 2007

Malaysia tepati sasaran



TEPATI SASARAN: Zolkples (tengah) bersama Keen Ho (empat dari kiri) dan pegawai snuker meraikan kejayaan meraih emas ke-64 menerusi perseorangan lelaki, semalam.

Emas menerusi perseorangan lelaki snuker jelmakan impian

TAHNIAH dan syabas buat barisan Harimau Malaysia! Angka keramat 64 emas yang dicari muncul di dewan Hotel Sima Thani apabila Moh Keen Ho memenangi acara snuker perseorangan, sekali gus memastikan sasaran Majlis Sukan Negara (MSN) tercapai sudah akhirnya.

Ia penantian yang cukup lama serta penuh mendebarkan dengan emas ke-64 negara hadir sehari sebelum Sukan Sea XXIV melabuhkan tirainya.


Dan kejayaan Keen Ho itu disambut dengan linangan air mata oleh kontinjen negara yang hadir termasuk Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolples Embong yang tidak dapat menahan perasaan terharunya lantas memeluk pegawainya dan terus menangis.

Seolah-olah seperti bebanan dan tekanan sudah hilang, Zolkples melepaskan semua perasaan terpendamnya dengan memeluk semua pegawai termasuk wartawan Malaysia yang mengucapkan tahniah di atas kejayaan kontinjen negara.

"Ini emas paling berharga," kata Zolkples, sambil mengesat air matanya. "Saya tidak sangka emas ke-64 akan disumbangkan oleh snuker dan syabas saya ucapkan kepada Keen Ho dan juga Prof Datuk W W Chin (Presiden Snuker dan Billiards Kebangsaan), yang berusaha keras untuk memastikan snuker menyumbangkan emas yang kali terakhir dimenangi pada 1999.

"Saya juga sudah memaklumkan kepada Menteri Belia dan Sukan (Datuk Seri Azalina Othman) dan beliau meminta kontinjen negara supaya jangan berhenti setakat ini, sebaliknya terus mencuba untuk memenangi beberapa emas lagi pada hari terakhir esok.

"Saya juga ingin mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada atlit serta persatuan sukan kebangsaan yang berusaha keras untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran ini dan saya juga tujukan kejayaan ini kepada seluruh rakyat Malaysia," kata Zolkples.

Selepas permulaan perlahan terutama lima hari pertama pertandingan apabila emas diraih kontinjen Malaysia begitu sedikit, atlit negara bangkit menggegar Korat pada tiga hari terakhir.

Bermula Rabu lalu, apabila karate-do dilangsungkan, ia mencetuskan kebangkitan kontinjen negara apabila mereka berjaya memenangi sejumlah 13 emas, dan disusuli dengan 10 emas kelmarin dan jumlah sama diraih semalam, bagi menjadikan pungutan tiga hari ini saja berjumlah 33 emas.

Ia membantu kontinjen Malaysia untuk menduduki tangga ketiga kedudukan pingat negara-negara dengan sejumlah 64 emas, terikat dengan Vietnam, yang menduduki tempat kedua berbekalkan kelebihan pingat peraknya.

Tetapi dengan Malaysia masih berpeluang menambah pingat melalui sukan polo, gimrama dan terjun pada hari terakhir ini, kontinjen negara kini mensasarkan kedudukan naib juara keseluruhan di belakang Thailand.

Bagi Zolkples, tekanan yang dirasai sejak bermulanya Sukan Sea begitu jelas apabila tidak dapat mengawal perasaannya semalam.

"Saya dapat rasakan satu bebanan atas diri saya sudah hilang," kata Zolkples. "Memang ramai yang meragui kemampuan kita mencapai sasaran 64 emas selepas kita bermula perlahan tetapi saya sudah jelas sebelum ini bahawa acara yang menjadi sasaran emas kita akan hanya bermula pada akhir pertandingan.

"Kini kita berpeluang memenangi beberapa emas lagi dalam acara terjun, gimrama dan polo dan saya berharap atlit kita akan terus berjuang," katanya.


Berita Harian



No comments: