|
|
Skuad karate-do sekali lagi mempamer persembahan luar biasa, menambah empat lagi pingat emas pada hari kedua acara itu semalam, sekali gus mengumpul lapan emas keseluruhan dan menjadikan mereka sukan paling cemerlang di Korat.
Turut menyumbangkan emas negara semalam adalah terjun (2), hoki (2), bola keranjang wanita (1) dan gimrama berpasukan (1).
Pada ketika edisi ke-24 Sukan SEA hanya berbaki dua hari untuk diharungi, kontinjen negara perlu mencari tambahan 10 lagi emas bagi memenuhi sasaran 64 emas yang diletakkan Majlis Sukan Negara (MSN).
Di atas kertas, jumlah tersebut mampu dipenuhi. Malah, hari ini saja kita berharap untuk menambah sekurang-kurangnya tujuh atau lapan lagi emas daripada acara terjun, gimrama, taekwando, boling dan sekali lagi, karate-do.
Malaysia juga mempunyai beberapa acara yang berpotensi menambah emas pada hari terakhir esok, dengan gimrama menawarkan empat lagi pingat – kita adalah pilihan dalam semua acara, terjun pula menawarkan dua emas dalam acara kegemaran penerjun kita, manakala sukan pelayaran tiba ke kemuncak perlumbaan.
Semalam, Lim Yoke Wai mengetuai kecemerlangan karate dengan meraih emas keduanya dalam acara kumite lelaki terbuka selepas memenangi emas pertama dalam kelas bawah 65kg kelmarin.
G. Yamini pula membuktikan kehebatannya selaku juara Asia dengan menjuarai pertarungan terbuka wanita, sekali gus menebus kegagalannya dalam saingan akhir kumite bawah 60kg.
Dua lagi emas karate-do disumbangkan oleh Jamaliah Jamaluddin dalam kategori 60kg wanita dan S. Mahendran, yang bertarung dalam saingan kumite 75kg lelaki.
Hari ini jaguh karate negara akan kembali ke gelanggang untuk pertarungan kumite lelaki dan wanita berpasukan.
Pada asalnya, ia bukanlah acara sasaran kita, namun melihat aksi luar biasa yang dipertonton sepanjang dua hari pertama saingan, tiada siapa mampu menafikan Malaysia adalah pilihan utama untuk memenangi dua emas terakhir.
Di kolam renang, Leong Mun Yee menebus kegagalannya dalam acara 3 meter papan anjal wanita kelmarin apabila memenangi emas 1m.
Yeoh Ken Nee terdahulu memberikan emas pertama terjun dengan mempertahankan kejuaraan 3m papan anjal lelaki, menewaskan rakan senegara, Rossharisham Roslan di tempat kedua.
Terjun menawarkan lima lagi pingat emas hari ini, dan Malaysia berada pada kedudukan baik untuk memenangi empat daripadanya dengan penerjun Olimpik, Bryan Nickson akan memulakan saingan acara platform.
Ken Nee sekali lagi menjadi harapan Malaysia untuk menambah dua emas dalam acara 1m dan 3m papan anjal serentak (bersama Rossharisham), manakala Bryan bertanding dalam 10m platform.
Wanita turut menaruh satu emas daripada gandingan Mun Yee-Elizabeth Jimie yang akan beraksi dalam 3m papan anjal, sementara kombinasi Cheong Jun Hoong-Pandelela Rinong turun dalam saingan 10m platform serentak.
Sementara itu, gimrama memulakan pemburuan lima pingat emas dengan memenangi emas pertama dalam acara berpasukan, menerusi gandingan hebat Chrystal Lim, Foong Seow Ting, Jamie Lee Yoke Jeng dan Wan Siti Haniza Wan Izahar.
Chrystal dan Seow Ting, selaku gimnas paling senior di dalam skuad menjadi pertarungan terbaik untuk memenangi emas all-around individu hari ini.
Hoki pula memenuhi sasaran dua pingat emas dengan penuh bergaya apabila skuad lelaki dan wanita membelasah lawan masing-masing pada perlawanan akhir.
Jika skuad lelaki menundukkan Singapura 7-0 dalam perlawanan akhir, pasukan wanita pula nyata bukan tandingan Thailand apabila menang besar 6-0.
Pasukan bola keranjang wanita pula dipaksa mengharungi detik yang mendebarkan apabila menundukkan seteru utamanya, Thailand hanya dengan satu mata sebelum mengesahkan emas. Malaysia menang 61-60.
Selepas menyumbangkan tiga emas, boling gagal menambah pungutan pingat emas dalam acara Masters lelaki dan wanita semalam selepas Esther Cheah dan Zulmazran Zulkifli hanya mampu membawa pulang perak dan gangsa.
Begitu pun, tenpin boling berharap untuk menamatkan saingan dengan sekurang-kurangnya sebutir emas, yang sekali gus akan memenuhi sasaran empat emas apabila turun dalam acara beregu campuran hari ini.
Turut berharap untuk menambah pingat emas hari ini adalah taekwando, yang menyaksikan atlet Olimpik negara, Elaine Teo beraksi dalam kategori 51kg wanita.
Dua hari sebelum Temasya ditutup, Malaysia masih kekal di tangga ketiga kedudukan pingat keseluruhan dengan mengumpul 54 emas, 45 perak dan 82 gangsa.
Thailand sudah pun mengesahkan kejuaraan walau pun Sukan SEA masih berbaki dua hari selepas terlalu jauh meninggalkan negara lain dengan mengumpul 154 emas, meninggalkan Vietnam di tempat kedua dengan 60 emas.
Utusan
No comments:
Post a Comment