Friday, December 14, 2007

Pembangunan atlit wanita perlu diberi lebih tumpuan

PERSATUAN sukan kebangsaan perlu memberikan lebih perhatian terhadap pembangunan atlit wanita kerana mereka sudah terbukti mampu menghasilkan kejayaan buat negara pada masa depan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tunku Tan Sri Imran Tuanku Jaa'far berkata pemain bowling wanita negara adalah antara contoh atlit wanita yang berjaya menampilkan persembahan terbaik di Sukan Sea kali ini.

"Pemain bowling wanita sudah membuktikan beberapa kali keupayaan mereka selama ini.

"Dan saya rasa ini adalah satu sebab kenapa persatuan sukan kebangsaan seharusnya menggembeleng usaha yang lebih untuk membangunkan atlit wanita," katanya yang ditemui ketika melawat skuad negara di SF Strike Bowl, Bangkok, semalam.

Secara keseluruhannya, Tunku Imran bangga dengan persembahan atlit wanita Malaysia pada tahun ini sambil menjelaskan mereka datang tepat pada ketika diperlukan.

"Atlit wanita kita terbukti menampilkan persembahan terbaik tahun ini terutamanya (pemain badminton) Wong Mew Choo yang memenangi gelaran Siri Super Terbuka China buat kali pertama dan menewaskan ramai pemain handalan China.


"Pemain badminton dan tiga pemanah lelaki membanggakan kita kerana berjaya layak ke Olimpik secara merit. Mereka seharusnya mengekalkan tahap terbaik dalam permainan mereka pada tahun depan dan beraksi dengan baik seperti tahun ini," katanya.

Ditanya mengenai Sukan Olimpik Beijing tahun depan, Tunku Imran yakin temasya empat tahun sekali itu akan menjadi medan buat atlit negara mencipta sejarah bagi mendapatkan keputusan terbaik bagi mengembalikan maruah negara selepas gagal pada 2000 dan 2004.

"Saya berharap akan dapat melihat persembahan terbaik daripada atlit kita terutama pemain badminton. Memang kita mahu memenangi pingat tetapi apa yang lebih penting ialah mereka dapat mencipta pencapaian peribadi terbaik.

"Kerana itu, mereka perlu mencipta tahap persembahan lebih berkualiti di Olimpik bagi memastikan penampilan yang lebih terpuji dalam saingan terbaik di sana nanti," katanya.

Berita Harian

No comments: