KORAT – Skuad karatedo negara seolah- olah menjadikan Dewan Kebkanjana, Kolej Teknologi Korat seperti ‘lombong emas’ apabila memenangi empat daripada lapan pingat tersebut dalam Sukan SEA Korat, semalam.
Ia hasil kerahan kudrat dan titisan keringat tiga pendekar - Lim Lee Lee, 33, Ku Jin Keat, 32 dan R. Puvaneswaran, 33 selain wira muda bersemangat tinggi, Lim Yoke Wai.
Puvaneswaran meraih emas keempatnya dalam Sukan SEA terakhirnya di sini selepas memenangi kumite kategori 55kg mengatasi atlet Vietnam, Pham Hoai Long, 6-2.
"Biarlah muka baru menggantikan saya kerana sumbangan saya dalam lima Sukan SEA sudah memadai. Tiada apa yang perlu dibuktikan lagi kecuali kepada Sukan Asia dan Kejohanan Dunia selepas ini,” katanya.
Jin Keat pula mengekalkan emas di Filipina, dua tahun lalu dalam kata individu lelaki menewaskan Noel Espinosa dari Filipina.
Dia bagaimanapun masih belum puas menikmati aksi Sukan SEA walaupun temasya Korat merupakan penampilan keenamnya.
Lee Lee pula menguasai kata wanita malah mempertahankan emas 2005 selepas menundukkan Nguyen Hoang Ngan dari Vietnam dalam acara individu.
Emas keempat diraih Yoke Wai dalam kumite 65kg lelaki dengan menewaskan Donny Dharmawan dari Indonesia 3-2 dalam ‘sudden death.’
Malaysia turut memenangi sebutir perak melalui kata berpasukan wanita daripada gandingan Lee Lee, Thoeh Ai Poh dan Chin Fang Ying.
Begitu juga tiga gangsa hasil penangan kata berpasukan lelaki, A Vasantha (kumite 48kg) dan G. Vathana (kumite 58kg).
– Utusan
No comments:
Post a Comment