|
|
KORAT – Olahraga terus menjadi antara penyumbang utama pingat pada Sukan SEA ke-24 di sini apabila meraih dua lagi emas di samping satu rekod baru dalam acara 110 meter lari berpagar pada hari keempat saingan di Stadium Utama Keputeraan Raja Thai Ke-80 semalam.
Dua emas terbaru itu diraih Rayzamshah Wan Sofian dalam acara 110 meter lari berpagar lelaki dan Siti Shahida Abdullah dalam acara lontar tukul besi wanita.
Dengan kejayaan dua atlet elit negara itu, menjadikan olahraga keseluruhannya telah menyumbang lima emas setakat ini.
Sebelum ini, olahraga menghasilkan emas menerusi kuartet 4x400m lelaki, Yuan Yufang dalam acara 20km jalan kaki wanita dan Teoh Boon Lim dalam acara 20km jalan kaki lelaki.
Namun kejayaan Rayzamshah, 19, paling bergaya semalam kerana selain berjaya meraih emas pada penyertaan pertamanya, anak kelahiran Keningau, Sabah ini turut mencipta rekod baru Sukan SEA dengan catatan 13.91 saat.
Di samping itu, catatan masanya semalam adalah kali pertama berjaya dilakukannya di bawah 14 saat. Rekod lama acara ini iaitu 13.92s dipegang atlet Thailand, Suplan Wongshriphuck yang turut beraksi semalam tetapi terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala seorang lagi atlet negara, Muhd. Faiz Muhammad ketiga.
“Sebelum ini saya tidak pernah melepasi bawah 14 saat. Tetapi dengan kekuatan yang ada, saya langsung tidak memperdulikan lawan saya dengan berlari sekuat hati. Alhamdulillah ia satu rekod baru Sukan SEA,” katanya.
Dengan kejayaan Rayzamshah itu, Malaysia turut berjaya mengekalkan mahkota acara itu yang dimenangi Mohd. Robani Hassan di Filipina, dua tahun lalu.
Siti Shahida, 26, pula seperti dijangka menepati ramalan apabila memenangi acara lontar tukul besi wanita dengan jarak lontaran terbaik 52.93 meter.
Bagaimanapun catatan guru di Sekolah Sukan Bukit Jalil itu gagal mengatasi rekod Sukan SEA yang diciptanya sendiri di Filipina dua tahun lalu iaitu 53.35 meter.
“Saya memang mahu menang emas di sini kerana ini mungkin temasya Sukan SEA terakhir buat saya,” katanya yang akan mengikat tali pertunangan 30 Disember ini dan dijangka melangsungkan perkahwinan tahun depan.
Namun hasrat sama yang mahu dilakukan atlet 100 meter lari berpagar wanita, Moh Siew Wei, 29, tidak kesampaian apabila sekadar meraih perak sekali gus gagal mempertahankan pingat emas yang dimenanginya dua tahun lalu.
“Kalau boleh, saya memang mahu mengakhiri karier dengan menang emas di sini. Tetapi apa boleh buat kerana saya mungkin tidak sekuat dulu lagi,” katanya yang sebelum ini pernah dua bulan dirawat di hospital kerana masalah tekanan darah rendah.
Sementara itu, selain Muhd. Faiz, Malaysia turut meraih gangsa dalam acara 4x100m lelaki dan wanita serta lompat jauh lelaki menerusi Mohd. Syahrul Amri Mohd. Suhaimi.
Utusan
No comments:
Post a Comment