KEBIASAANNYA sebaik selesai sidang Parlimen di hujung minggu, saya akan bergegas pulang ke kawasan Parlimen, tetapi Khamis lalu saya terpaksa bergegas ke Kuantan untuk menghadiri majlis penganugerahan darjah kebesaran dan pingat sempena Hari Keputeraan Ke Bawah Duli Tuanku Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.
Saya menjunjung kasih kepada Tuanku di atas penganugerahan darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri kepada saya. Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Azalina Othman turut dianugerahkan bintang berkenaan.
Saya kagum dengan Tuanku yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang walaupun sibuk dengan tugas rasmi termasuk menyaksikan Sukan Sea di Korat, Thailand, masih sempat turun meninjau sendiri kawasan banjir yang menimpa rakyat negeri itu.
Kebetulan pada masa berlangsungnya temasya di Korat dengan kontinjen Malaysia bertungkus lumus mencari sebanyak pingat emas untuk menepati sasaran Majlis Sukan Negara (MSN), saya terpanggil membahaskan isu sukan di Parlimen minggu lalu.
Penarikan diri pasukan sepak takraw negara menarik perhatian saya, selain ingin tahu apakah perancangan baru KBS dan MSN mengenai Pusat Prestasi Tinggi di Brickendonbury kerana ia turut membabitkan skuad bola sepak.
Tindakan menarik diri Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) menjadi tumpuan ramai Ahli Parlimen. Biarpun PSM mempunyai alasan tersendiri, tindakan sedemikian dilihat sebagai titik hitam dalam sejarah Sukan Sea, malah inilah kali pertama Malaysia tidak menyertai acara itu sejak 1965 sedangkan ia adalah warisan sejarah sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi.
PSM kononnya tidak puas hati dengan bola yang diperkenalkan Thailand yang juga musuh tradisi dalam permainan ini kerana dikatakan bola bersalut getah, Marathon Gen-II itu boleh mencederakan pemain.
Bukan saya hendak menuding jari tetapi sekadar bertanya kepada MSN dan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengapa perkara seperti ini boleh berlaku?
Apa yang kita lihat ialah soal maruah negara perlu dijaga, apa lagi kita mempunyai jiran tetangga yang ramai di rantau Asia Tenggara.
Cuba kita ambil contoh semangat Persatuan Bola Keranjang Amatur Malaysia (Maba) di mana mereka terpaksa berkorban disebabkan penggunaan jenis bola berbeza dalam latihan (Molten) dan pertandingan di Sukan Sea (Mikasa).
Berita Harian
1 comment:
Assalamualaikum..
Saya berasa tindakan yang dilakukan oleh PSM adalah wajar walaupun ianya agak keterlaluan. Namun, di sebalik isu ini dapat saya katakan bahawa terdapat beberapa pihak yang cuba untuk melumpuhkan pasukan kita. Penukaran bola rasmi tersebut sepatutnya dilakukan dengan lebih awal ataupun dibuat kajian menyeluruh tentang implikasinya.
Bukan itu sahaja,maruah dan hak kita di persada antarabangsa sering dipermainkan oleh Thailand yang sememangnya seteru utama dalam arena ini.Kesimpulannya, dapat saya garapkan bahawa isu ini wajar kita polemikkan agar kita tidak terus dipijak dengan sewenangnya oleh kerana kita terlalu mudah berlembut demi menjaga keharmonian serantau walaupun ianya pahit ditelan oleh kita. Saya ada mengulas isu ini dalam blog http://isu-sukan.blogspot.com
Post a Comment