Thursday, December 13, 2007

Siti Zalina terus diburu malang


Bangkok, 12 Dis 2007, Atlit lawn bowl negara bersama trofi yang dimenangi muncul juara keseluruhan pada perlawanan akhir di Lawn Bowls Green, Queen Sirikit Sports Centre Phatum Thani di sini. Gambar: Hairul Anuar Abd Rahim. Hairul Anuar Rahim.

Gagal raih gelaran perseorangan ketika rakan sepasukan sumbang empat emas

EMPAT emas berjaya diraih daripada keseluruhan enam ditawarkan pada hari terakhir acara lawn bowl di Queen Siikit Sports Center dekat Pathum Thani, Bangkok, semalam.

Ia memperbaiki catatan hanya tiga emas di temasya Manila dua tahun lalu tetapi masih kurang satu emas dibandingkan pencapaian terbaik negara dengan lima emas di Sukan Sea Kuala Lumpur 2001.


Namun ia menjadi hari paling malang buat dua atlit acara perseorangan, Siti Zalina Ahmad dan Safuan Said apabila masing-masing hanya meraih perak dan gangsa ketika acara beregu lelaki dan wanita dan trio lelaki serta wanita, semuanya bergembira dengan kilauan emas masing-masing.

Siti Zalina yang juga juara Sukan Komanwel sebanyak dua kali dan enam tahun berturut-turut bergelar juara Asia, masih belum dapat menghapus badi kekalahannya sejak 2001 dalam acara perseorangan kepada juara bertahan, Songsing Tsao dari Thailand.

Pemain ranking ketiga dunia itu melakukan cubaan dramatik mengejar pemain Thailand itu apabila ketinggalan 16-7 pada ends ke-11 tetapi usahanya hanya dipisahkan dengan satu mata apabila gagal pada balingan terakhir walaupun mendahului 20-19 bagi memberikan kemenangan buat Songsing 21-20.

"Ia masih tidak mencukupi," kata Siti Zalina yang terus terduduk di green sebaik mendapati balingannya gagal memecahkan bola milik pemain Thailand itu bagi memberikan dua mata terakhir.

Kegagalan Siti Zalina bagaimanapun dibalas dengan kejayaan pemain lelaki dan wanita acara beregu dan trio yang masing-masing bermain dengan cemerlang semalam.

Pemain beregu lelaki diketuai Azim Azami Mohd Ariffin dan Mohd Amir Mohd Yusof mengetepikan Thailand dengan kemenangan 19-17 manakala Zulhilmie Redzuan, Khairul Anuar Abd Kadir serta Fairul Izwan Abd Muin mengatasi trio Thailand dengan kemenangan 24-11.

Beregu wanita diwakili Emma Firyana Saroji dan Azlina Arshad pula memenangi emas selepas menundukkan Filipina 16-15 manakala trio wanita diwakili Maisarah Aminludin, Nor Fidrah Noh dan Nor Hasimah Ismail menang selesa 24-11 menentang Thailand.

Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Tan Sri Ahmad Sarji Abd Hamid ketika ditemui berkata, walaupun gagal menyapu bersih semua emas seperti disasarkan sebelum ini, dia masih berpuas hati dengan pencapaian berkenaan kerana taraf permainan di Sukan Sea kali ini nyata sudah banyak meningkat.

"Taraf permainan sudah banyak meningkat. Safuan hanya dapat gangsa sedangkan dia pemain nombor satu dunia, Siti Zalina ranking ketiga dunia, menang dua kali di Sukan Komanwel serta juara Asia enam kali tetapi tewas di sini.

"Saya sendiri tidak tahu kenapa mereka boleh tewas di sini, mungkin nasib tidak menyebelahi mereka. Tetapi empat daripada enam emas diraih kali ini memperbaiki catatan kita di Manila dan saya tidak kesal," katanya.

BH

No comments: