Thursday, December 13, 2007

Sukan Sea: Lee Lee, Jin Keat, Puvan buka langkah kemas

MALAYSIA membuka gelanggang karate-do Sukan Sea XXIV dengan penuh gemilang apabila memenangi empat daripada lapan emas ditawarkan hasil daripada kekuatan muka-muka lama yang terus gagah di Dewan Kebkanjana, Kolej Teknologi Nakhon Ratchasima, semalam.


Ia permulaan dicari-cari skuad karate-do dan kontinjen Malaysia yang mengharapkan tuaian emas daripada sukan ini selepas agak terkebelakang dalam sasarannya meraih sejumlah 64 emas dalam temasya kali ini.


Malaysia harus berterima kasih kepada tiga atlit seniornya Lim Lee Lee, 33, Ku Jin Keat, 32, dan R Puvaneswaran, 33, yang sudah beraksi dalam lebih daripada lima Sukan Sea serta atlit muda Lim Yoke Wai, yang menyumbangkan emas.

"Ini emas keempat saya dalam Sukan Sea dan mungkin penampilan terakhir saya dalam temasya ini," kata jaguh Malaysia, Puvaneswaran yang memenangi kumite kategori 55kg menewaskan lawannya dari Vietnam, Pham Hoai Long, 6-2.

"Saya mahu memberi laluan kepada muka baru kerana saya rasa sudah cukup sumbangan saya dalam Sukan Sea dan saya tidak perlu membuktikan apa-apa lagi, sebaliknya saya ingin menumpukan kepada temasya lebih besar seperti Sukan Asia dan Kejohanan Dunia."


Jin Keat pula memastikan emas yang dimenangi dua tahun lalu dalam kata individu lelaki tetap berada dalam genggaman apabila memperagakan aksi memukau untuk mengetepikan Noel Espinosa dari Filipina.

"Saya gembira dapat menyumbangkan emas serta mempertahankan kemenangan saya di Manila dua tahun lalu," kata atlit berasal dari Pulau Pinang itu. "Walaupun sudah lebih enam kali beraksi dalam Sukan Sea, saya tidak pernah berasa puas.'

Lee Lee, juga dari Pulau Pinang meneruskan kecemerlangan dalam kata wanita, serta turut mempertahankan emas yang diraih di Manila selepas mengatasi Nguyen Hoang Ngan dari Vietnam dalam acara individu.

"Ini satu kepuasan buat saya," katanya. "Walaupun saya sudah beraksi dalam banyak Sukan Sea, saya masih mempunyai motivasi untuk melakarkan kejayaan. Mungkin kerana saya terlalu sayangkan temasya ini hingga mahu terus beraksi.'

Emas keempat disumbangkan Yoke Wai dalam kumite 65kg lelaki dengan menewaskan Donny Dharmawan dari Indonesia dengan keputusan 3-2 dalam pertarungan sudden death.

"Memang saya begitu yakin dapat memenangi emas sekalipun terpaksa berentap dalam penentuan sudden death," kata Yoke Wei, yang meraih emas pertamanya dalam Sukan Sea sejak beraksi pada 2001 di Kuala Lumpur.

Selain empat emas, Malaysia juga memenangi satu perak melalui kata berpasukan wanita melalui gandingan Lee Lee, Thoeh Ai Poh dan Chin Fang Ying dan tiga gangsa yang disumbangkan kata berpasukan lelaki, A Vasantha (kumite-48kg) dan G Vathana (kumite-58kg).

BH



No comments: