Tuesday, December 11, 2007

Diari Penyokong: 'Inilah Barisan Kita' bergema di bumi Korat

Daripada Hasnira Hasan

BUMI Korat bergema lagi, tetapi kali ini dengan perang gendang dan sorakan tiga penjuru kumpulan penyokong tiga negara - Malaysia, Singapura dan tuan rumah - Thailand.

Lagu 'Inilah Barisan Kita' yang menjadi pembuka sokongan kepada atlit Malaysia di Korat nyata menyentuh perasaan dan membangkitkan semangat pasukan negara untuk terus berjuang membawa pulang pingat emas untuk negara.

Kira-kira 50 penyokong setia Malaysia yang lebih dikenali sebagai Kelab Famemas yang ditubuhkan pada 2002, mula berkampung di wilayah Nakhon Ratchasima, sebaik sampai kira-kira jam 5 pagi semalam, bagi memberi sokongan moral kepada pasukan negara yang berjuang dalam kejohanan Sukan Sea sejak akhir bulan lalu.


Penulis yang berkesempatan menyertai rombongan kumpulan penyokong ini sempat merakamkan perjalanan dan semangat perjuangan, kegembiraan dan kekecewaan yang dikongsi bersama atlit.

9.30 pagi: Misi menyokong dimulakan selepas kumpulan penyokong Famemas selesai bersarapan di hotel penginapan - Hermitage & Resort. Lokasi pertama disasarkan di Institut Teknologi Chanapolkhan yang menyaksikan berlangsungnya kejohanan wushu membabitkan ratu wushu negara, Chai Fong Ying dan Ng Shin Yii yang menguasai pertandingan dengan merangkul emas dan perak. Malangnya kumpulan penyokong terdiri daripada media yang menaiki van berasingan tidak sempat merakamkan tugas pertama apabila kenderaan yang kami naiki tersesat hampir sejam, selepas ditinggalkan bas yang dinaiki kumpulan penyokong utama.

11.10 pagi: Kami tiba di Institut Teknologi Chanapolkhan dan hanya sempat menemubual Fong Ying dan Shi Yii. Ketika ini, Naib Presiden Famemas, David Foo, sempat bercerita pengalamannya di Ho Chi Minh mengenai karenah penyokong Vietnam yang terlalu fanatik dengan bola sepak dan enggan menerima andainya pasukan mereka kalah dalam Sukan Sea sebelum ini.

"Ketika itu, perlawanan membabitkan Malaysia dan Vietnam. Mereka turut memberi amaran, andai Malaysia menang, maka, jawabnya kami tidak akan sampai ke hotel (penginapan). Cuma nasib baik, kemenangan berpihak kepada tuan rumah.

Itu pun keadaan tetap sukar apabila jalan raya dipenuhi penyokong fanatik yang menunggang motosikal membanjiri jalan raya sehingga menyukarkan laluan kenderaan lain."

Pengalaman Lee itu ternyata membuatkan hati penulis berdebar-debar. Maklumlah, inilah kali pertama penulis hadir dalam kejohanan seperti ini sebagai penyokong.

12.50 tengah hari: Perjalanan diteruskan ke Plaza Klang Jomsurang di pusat bandar, bagi menyaksikan pertandingan ping pong antara pemain nombor satu negara - Mohd Shakirin Ibrahim dan wakil tuan rumah. Berbaju kuning biru, kumpulan sorak Famemas ternyata berjaya menarik perhatian orang ramai di tingkat atas pusat beli belah itu apabila masuk ke kawasan pertandingan dengan diiringi paluan gendang, serunai dan kompang yang bergempita.

Serentak itu, perang penyokong mula bermula apabila Famemas dan penyoong tuan rumah saling berbalas sorakan dengan aksi masing-masing. Famemas memulakan lagu Inilah Barisan Kita sebelum Mohd Shakirin memulakan aksi, diiringi sorakan semangat yang lain.

Walaupun pertandingan berpihak kepada tuan rumah, penulis bersyukur apabila mendapati penyokong Thailand mungkin tidak 'sefanatik' penyokong Vietnam. Malah, kami tidak diganggu walaupun berjalan berseorangan dengan memakai t-shirt penyokong dengan lambang 'Malaysia Boleh'.

3.30 petang: Tiba di Universti Vongchavalitkul yang terletak kira-kira 25 kilometer dari pusat bandar. Namun, hasrat memberi sokongan moral terhenti apabila disyaratkan membeli tiket dan hanya sebahagian kami yang dapat masuk ke majlis terbabit berikutan jumlah tiket yang terhad.

Pada masa sama, kami diberi syarat ketat tidak boleh membuat bising terutama bunyi-bunyian sokongan seperti drum, trompet dan kompang.

4 petang: Baki 20 ahli rombongan yang tidak menyertai majlis perasmian di dewan utama universiti berkenaan kemudian beralih menyokong pasukan badminton wanita negara yang bertanding di Stadium Permainan Dalaman Universiti Vongchavalitkul.

Berita Harian

No comments: