Tuesday, December 11, 2007

Misi tuai enam emas bermula

MISI menyapu bersih enam pingat emas dalam acara lawn bowl bermula hari ini dengan skuad Malaysia sudah bersedia menghadapi saingan pada perlawanan pertama di Queen Sirikit Sports Centre di Pathum Thani.

Jelas skuad negara terlalu gagah kali ini dengan Menteri Sukan dan Pelancongan Thailand, Suvit Yodmani secara berseloroh berkata, Malaysia sepatutnya memberikan sedikit emas buat pasukan lain yang bertanding kali ini.

"Saya harap anda tidak akan menang semuanya dan memberikan sedikit pingat kepada kami juga," katanya ketika melawat lapangan lawn bowl, semalam.


Namun, skuad negara punya sasaran tinggi yang tidak pernah direalisasikan sebelum ini dengan Sukan Sea Kuala Lumpur 2001 adalah pencapaian terbaik apabila memungut lima emas dan satu perak.

Pengurus pasukan, Syed Zainal Abidin Syed Zin pula berkata di sebalik dilabel sebagai pasukan pilihan, pasukan kendaliannya sudah bersedia untuk menunaikan janji mereka.

"Pemain berada pada tahap terbaik selepas memenangi beberapa kejohanan peringkat antarabangsa sebelum ke sini dan berdasarkan kepada itu, kami harap pencapaian kali ini akan lebih baik berbanding tiga emas, dua tahun lalu," katanya.

Pada acara perseorangan lelaki dan wanita hari ini, Safuan Said dan Siti Zalina Ahmad (gambar) akan mengetuai skuad negara untuk mendapatkan rentak awal pada saingan kali ini.

Safuan akan bertemu wakil Filipina manakala Siti Zalina yang juga pemenang dua pingat emas berturut-turut pada Sukan Komanwel akan menentang peserta Thailand.

Aksi hari ini juga akan menentukan sama ada Siti Zalina mampu mengelak badi kekecewaan dalam Sukan Sea selepas tidak pernah memenangi emas sejak temasya 1999.

Dalam acara lain, Fairul Izwan Abdul Muin dan Zulhilmie Redzuan akan bertemu Thailand dalam acara berpasangan lelaki manakala bagi kategori pasangan wanita akan mempertemukan gandingan Nor Shafeeqah Yahya dan Azlina Arshad dengan gandingan Filipina.

Trio lelaki, Azim Azami Ariffin, Mohd Azwan Shuhaimi dan Mohd Amir Mohd Yusof serta trio wanita, Nor Hashimah Ismail, Maisarah Aminluddin dan Nor Fidrah Noh masing-masing akan bertemu Filipina dan Brunei.

Berita Harian

No comments: