(kanan); PUAS: Yufang menjulang Jalur Gemilang selepas mengungguli 20km jalan kaki awal pagi semalam di Korat." height="246" width="432"> GAMBAR (kiri); TERLALU GEMBIRA: Boon Lin memeluk jurulatihnya selepas menamatkan saingan 20km jalan kaki lelaki untuk meraih emas, semalam. (kanan); PUAS: Yufang menjulang Jalur Gemilang selepas mengungguli 20km jalan kaki awal pagi semalam di Korat. |
Boon Lim kembali gegar selepas 'hilang' enam tahun, Yufang pertahan gelaran
SELEPAS enam tahun menghilangkan diri, Teoh Boon Lim kembali melakarkan kejayaan emas dalam acara jalan kaki 20km lelaki manakala Yuan Yufang meneruskan penguasaannya dalam acara sama sejak 1999 untuk memulakan pagi hari ketiga kejohanan dengan tuaian emas untuk kontinjen negara.
Namun, kekecewaan buat juara bertahan sebanyak dua kali, Mohd Shahrulhaizy Abdul Rahman, apabila dibatalkan aksinya menuju dua kilometer terakhir selepas diberikan amaran sebanyak tiga kali kerana kakinya tidak mencecah tanah ketika melangkah.
Apapun, Boon Lim yang mencatatkan masa 1 jam 30 minit dan 37 saat dan Yufang pula dengan masa kemenangan 1:41:47 saat, memastikan emas terus milik Malaysia yang dikuasai sejak hampir dua dekad tanpa putus.
"Ini kejayaan lebih bermakna buat saya berbanding pada 2001 di Kuala Lumpur ketika saya memenanginya buat kali pertama," kata Boon Lim, 31, dari Pulau Pinang. "Selepas tempoh enam tahun saya berjaya memenangi semula emas dan ia bukannya mudah dicapai.
"Selepas kemenangan pertama pada 2001 saya memutuskan untuk bersara tetapi isteri sentiasa menggalakkan saya untuk kembali beraksi kerana berpendapat saya masih mempunyai bakat dan mampu bersaing di peringkat Asia Tenggara dan juga Asia.
"Pada mulanya, memang sukar kerana setiap kali saya cuba berlatih setiap kali juga saya tidak dapat memotivasikan diri tetapi dengan dorongan berterusan isteri serta dua anak saya, hasrat ini diteruskan dan akhirnya saya berjaya mencapai kejayaan ini.
"Sememangnya isteri dan anak saya menjadi pendorong terutama anak sulung saya yang selalu mengingatkan saya untuk sentiasa jalan lebih laju dan menang," katanya, yang pernah muncul juara Sekolah-sekolah Asean pada 1994 di Singapura.
Boon Lim menewaskan dua pesaing terdekatnya dari Indonesia Kristian Lumban Tobung (1:32.57s) dan Indra 1:35.45s walaupun selepas 12km perlumbaan, Indra mengatasi pelumba Malaysia sebelum Boon Lim memintasnya semula.
Bagi Shahrulhaizy, keghairahannya untuk mengejar Boon Lim, yang berada di depan mengundang padah apabila lupa kepada peraturan jalan kali dan menerima kad merah sebanyak tiga kali sekali gus terpaksa menghentikan aksinya.
"Saya sungguh kecewa dan berpendapat saya berjalan mengikut peraturannya," kata Shahrulhaizy yang memenangi dua emas acara ini pada 2003 dan 2005. "Mungkin juri melihat sebaliknya. Mungkin saya juga terlalu tertekan untuk mengejar atlit Indonesia dan juga Boon Lim, hingga ia menjejaskan rentak saya."
Yufang, 31, pula membuktikan pengorbananya untuk negara tiada batasan apabila meninggalkan anak keduanya yang lahir 10 bulan lalu untuk menjalani latihan semata-mata memberikan emas di temasya ini.
"Sudah 10 bulan saya tidak melihat anak perempuan saya kerana sebaik bersalin saya terus kembali menjalani latihan," katanya yang meninggalkan anak perempuannya dibawah jagaan ibunya di Hubei, China. "Tetapi saya gembira dengan emas ini walaupun keadaan cuaca begitu memeritkan."
Ini adalah emas keenam Yufang dalam Sukan Sea sejak kemenangan pertamanya pada 1999. Seorang lagi pejalan kaki negara Yap Kwee Kee menduduki tempat terakhir dengan catatan 2:00.41s
Dalam acara maraton lelaki Shahrudin Hashim menduduki tempat kelapan manakala Chan Yew Woo gagal menamatkan perlumbaan akibat kejang otot.
Berita Harian
No comments:
Post a Comment