KORAT – Emas di saat akhir menerusi Diana Bong membolehkan wusyu menutup tirai saingan dengan berjaya membawa pulang dua emas seperti yang disasarkan pada hari terakhir acara itu di Sukan SEA di sini, semalam.
Namun Diana sebenarnya bukan prospek yang diharap memenangi emas pada temasya kali ini tetapi muncul bergaya untuk memenangi acara nanquan wanita dengan mengumpul mata 28.12 daripada tiga disiplin yang ditetapkan.
Begitu pun emas Diana semalam terpaksa dikongsi bersama atlet Vietnam, Vu Thuy Lin yang turut mencatat jumlah mata yang sama manakala gangsa dimenangi seorang lagi atlet negara, Tai Cheau Xuen.
“Mujur Diana dapat meraih emas untuk menepati sasaran kami. Tetapi siapa juga yang memenanginya, ia hanyalah untuk Malaysia,” kata pengurus pasukan, Lum Kok Wai.
Kejayaan Diana itu berjaya menebus kegagalan prospek sebenar emas wusyu iaitu Ang Eng Chong yang hanya sekadar mampu menduduki tempat kelima dalam acara changquan lelaki.
Sebelum ini, emas pertama Malaysia dalam acara wusyu diraih Chai Fong Ying yang muncul juara acara taijiquan/taijijian kelmarin.
Keseluruhannya, wusyu berjaya membawa pulang dua emas, dua perak dan satu gangsa daripada temasya edisi ke-24 kali ini.
Utusan
No comments:
Post a Comment