Tuesday, December 11, 2007

Malaysia yakin gapai emas

SKUAD berbasikal Malaysia berharap untuk bermula dengan kayuhan kaki kanan apabila turun beraksi dalam acara 42 kilometer ujian masa lelaki dan wanita di lebuh raya Mittraphap, Korat dengan bersandarkan kepada dua pelumba lelaki, Ng Yong Li dan Muhammad Fauzan Ahmad Lutfi (gambar) serta pelumba wanita, Ruszatul Zanariah Md Yusof.

Pengurus pasukan Yunus Ibrahim, berkata pelumba Malaysia mempunyai peluang dalam kedua-dua acara lelaki dan wanita dengan cabaran utama bakal diberikan pelumba Vietnam.

“Persatuan mensasarkan emas daripada acara ini,” kata Yunus. “Kita memiliki pelumba yang mampu melakarkan kemenangan dalam kedua-dua acara lelaki dan wanita. Saya mengharapkan pelumba kita dapat bermula dengan baik bagi menyuntik semangat rakan sepasukan menghadapi acara berikutnya.


“Pelumba sudah pun dibawa melihat laluan dan saya rasa tidak ada masalah sepanjang laluan itu, cuma mereka perlu memberi perhatian kepada pelumba Vietnam, pasukan pilihan acara ini,” katanya.

Apabila ditanya mengapa hanya Ruszatul Zanariah diturunkan dalam acara wanita sedangkan persatuan turut menyenaraikan Urraca Leow Hoay Sin, Yunus berkata perkara itu akan dimuktamadkan pada mesyuarat pengurus pasukan dan di kalangan jurulatih negara.

“Uracca tidak cedera tetapi kemungkinan besar tidak akan diturunkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan tetapi kita akan membuat keputusan mengenai penyertaannya sebelum perlumbaan,” kata Yunus.

Dua tahun lalu di Manila, Malaysia sekadar meraih gangsa dalam 42km ujian masa individu ini melalui Shahrulneeza Razali tetapi memenangi emas dan gangsa dalam perlumbaan lepas beramai-ramai menerusi Suhardi Hassan dan Shahrulneeza.

Berita Harian

No comments: