KORAT – Siow Yi Ting menyelamatkan Malaysia daripada kempunan sebarang pingat pada hari keempat renang Sukan SEA Korat dengan menyumbangkan dua perak menerusi 200 meter kuak dada dan 4x100m rampaian wanita di Pusat Akuatik Ulang Tahun Keputeraan Raja Thailand, semalam.
Siswa Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat itu tewas kepada perenang Singapura, Nicolette Teo Wei Min dengan catatan 2 minit 32.55s tetapi sudah memadai untuk melepasi had kelayakan B ke Sukan Olimpik Beijing 2008 iaitu 2:33.40s.
Nicolette mencatatkan 2:31.96s untuk menjuarai acara itu manakala gangsa milik Jaclyn Pangilinan dari Filipina yang merakamkan 2:39.16s.
Yi Ting, 21, kemudian bergandingan dengan Chai Sook Fun, Louisa Los Santos dan Leung Chii Lin untuk menduduki tempat kedua dengan catatan 4:19.33s iaitu kekurangan 6.15s dengan rangkaian Singapura - Shana Lim, Nicolett, Tao Li dan Quah Ting Wen yang membaharui rekod Sukan SEA.
Gangsa kepunyaan rangkaian Thailand yang membariskan Wenika K. Chaiwong, Phantira Saraikarn, Natnapa P. Muenwai dan Natthanan J. Krajang yang mencatatkan 4:25.00s.
Perenang lain negara iaitu Clement Leong menduduki tempat tercorot 50m gaya bebas lelaki, begitu juga Yap See Tuan (200m kuak dada lelaki), Heidi Gan dan Ong Ming Xiu (keempat dan keenam 200m gaya bebas wanita) serta Kevin Yeap dan Kevin Lim (kelima dan keenam 1,500m gaya bebas lelaki).
Kata Yi Ting: “Saya terkejut sedikit dengan kekalahan ini walaupun telah bermati-matian untuk menang emas. Saya agak lega mampu layak ke Olimpik bagi acara kedua ini.
“Satu persaingan yang rapat dengan Nicolette tetapi saya kurang berpuas hati dengan masanya yang tidak menghampiri catatan ketika Sukan Asia Doha tahun lalu,” katanya yang memburu satu lagi emas menerusi 400m rampaian perseorangan hari ini sekali gus hadiah hari jadinya ke-22.
– Utusan
No comments:
Post a Comment