Wednesday, December 12, 2007

'Saya sedia terus berbakti'

Yufang tidak akan berundur selagi khidmatnya diperlukan

JIKA ada anugerah bagi mereka yang memiliki semangat juang serta pengorbanan tinggi, seharusnya pengiktirafan itu menjadi milik pejalan kaki negara Yuan Yufang.

Sejak menjadikan Malaysia negara angkatnya, Yufang sentiasa bersedia untuk turun menyarung jersi Harimau Malaysia sekalipun terpaksa berkorban kesihatan dan juga keluarga.


Contohnya pada Sukan Sea XXI di Kuala Lumpur, Yufang melahirkan anak pertamanya dan tidak sampai tiga bulan terus turun menjalani latihan dan memberi emas kepada Malaysia dalam acara 10 kilometer dan 20km. Ini disusuli dengan pembedahan kecil jantung beberapa minggu sebelum Sukan Sea 2003 tetapi dia tampil untuk memberikan emas buat Malaysia.

Dan di Korat, Yufang sekali lagi melakukan pengorbanan kali ini membabitkan keluarganya apabila terpaksa meninggalkan anak kedua yang baru lahir di bawah jagaan ibu untuk menjalani latihan bertanding dalam Sukan Sea XXIV.

"Sebaik melahirkan anak awal tahun ini saya terpaksa meninggalkan bayi perempuan saya di bawah jagaan ibu saya di Hubei bagi membolehkan saya menjalani latihan menghadapi Sukan Sea," kata Yufang selepas mempertahankan pingat emas 20km jalan kaki, semalam.

"Kini saya boleh berehat dan mengambil cuti panjang untuk kembali menjaga bayi perempuan saya," kata atlit yang kini sudah mencecah usia 31 tahun itu.

Sejak pertama kali melayari balapan dengan Jalur Gemilang tersemat dalam diri pada 1995 di Sukan Sea Jakarta, Yufang sentiasa menyatakan penyertaan dan kemenangannya adalah semata-mata untuk Malaysia dan ditanya apakah Korat 2007 adalah penyertaan terakhir, Yufang memberi jawapan, "Selagi negara memerlukan khidmat saya, selagi itu saya akan beraksi.

"Apa yang saya lakukan ini semuanya untuk negara Malaysia tidak sebab lain dan saya gembira dan berbangga dalam menyumbangkan bakti saya kepada Malaysia," katanya.

Berita Harian

No comments: